Wednesday, November 14, 2012

Kisah Sahabat – Uwais al-Qarni

Rasulullah S.A.W pernah berpesan kepada Sayyidina Umar r.a. dan Sayyidina Ali k.w.: “Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.
Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali lalu sama-sama menanyakan kepada Rasulullah S.A.W: “Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?” Rasulullah S.A.W menjawab: “Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian.
Memang benarlah kata-kata Rasulullah S.A.W, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Mereka memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar, tidak mungkin dia orang yang Rasulullah S.A.W maksudkan kerana di kalangan orang awam, Uwais dianggap sebagai seorang yang kurang waras.
Uwais Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak, badannya putih, yakni putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia seorang berpenyakit sopak, dia adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.
Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin untuk mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya berikhtiar agar dia dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa namun perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian. Beliau tidak memiliki unta dan juga tidak mampu untuk membayar sewa.
Pada suatu hari, ibu Uwais yang semakin uzur berkata kepada anaknya: “Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.
Uwais mendapat suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil di atas sebuah ‘Tilal’ iaitu sebuah tanah tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.
Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.
Selepas lapan bulan, apabila sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.
Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: “Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?
Uwais menjawab: “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.
Ibunya bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan dosa kamu?
Uwais menjawab: “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga.
Ibunya berkata lagi: “Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.
Uwais berkata: “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala.
Ibunya menambah: “Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa.
Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya, dia berdoa: “Tolonglah ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkanlah sedikit.
Allah SWT lalu menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah S.A.W kepada Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali: “Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni.
Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W, mereka meminta supaya Uwais berdoa agar Allah SWT berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua.
Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali, beliau berkata: “Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah S.A.W kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku.” Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.
Setelah itu Sayyidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, bertanya kepadanya: “Anda hendak pergi ke mana?” “Kufah”, jawab Uwais. Sayyidina Umar bertanya lagi: “Mahukah aku tuliskan surat kepada Gabenor Kufah agar melayanimu?” Uwais menjawab: “Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.”
Demikianlah kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit. Wallahua’lam.
Sumber: Syahirul

Monday, November 12, 2012

Awal Muharram

Kisah Sejarah Awal Muharram "HIJRAH"




Assalamualaikum...salam sejahtera.


KISAH BERMULANYA KALENDAR ISLAM


Kalendar Islam bagi sandaran umat Islam adalah Takwim Hijrah atau Takwim Islam. Ianya merupakan takwim yang digunakan secara meluas di kebanyakan negara umat Islam untuk menentukan hari kebesaran Islam. Kalendar ini merupakan kalendar lunar (berasaskan bulan), dan mempunyai kira-kira 355 hari dalam setahun.Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari
ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab r.a. Ini adalah rentetan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya. Riwayat juga mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-Asy’ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a meminta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya.Bermula daripada peristiwa itulah Saidina Umar memerintahkan satu kalendar / taqwim Islam yang khas diwujudkan untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu. Peristiwa ini juga pencetus kepada penyusunan takwim berdasarkan falak syar’ie.
Sebelum kemunculan kalendar Islam ini di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah.
Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar taqwim Islam.
Walaupun tahun yang dipilih adalah tahun hijrah, ianya mencatatkan peristiwa hijrah berlaku pada bulan yang lain selain Muharram namun kalender Islam meletakkan awal bulan kalender hijrah itu sebagai awal Muharram ini kerana kemuliaan yang ada pada bulan ini di sisi orang Arab lebih-lebih lagi di sisi Allah.
KOTA MEKAH
Kalendar ini juga mengambil peristiwa hijrah Rasullullah s.a.w dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.
Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmuqaddis pula dibebaskan dari Rom dan Masjid Al Aqsa dibangunkan.
Perbandingan kalendar juga telah dibuat oleh Umar,setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik dan bersistematik. Maka dengan itu pengisytiharaan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.
Sebab-sebab berlaku Hijrah
Ia bagi mengurangkan tekanan yang dialami baginda Rasulullah terhadap serangan bertubi-tubi puak musuh di kalangan masyarakat Arab Jahiliyyah yang tidak senang dengan Islam yang diperkenalkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.
KOTA MADINAH
Atas dasar itu Allah SWT memerintahkan baginda dan seluruh umat Islam yang masih berada di bumi Mekah supaya meninggalkan tempat itu dan menuju ke kota Madinah.
Bagi yang mengingkari arahan supaya berhijrah ke Madinah, mereka dijanjikan dengan neraka dan ditimpakan dengan siksaan yang amat pedih dari sisi Allah sepertimana yang ditegaskan Allah menerusi firman-Nya dalam ayat 97 surah an-Nisaa yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaaan menzalimi diri mereka sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya : Dalam keadaan bagaimana kamu ini? Mereka menjawab : Kami adalah orang-orang yang tertindas di negeri kami sendiri (Mekah). Para malaikat berkata : Bukankah bumi Allah itu luas hingga kamu dapat berhijrah di bumi itu? Orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan ia seburuk-buruk tempat kembali.”
Hijrah adalah sunnah para anbiya
Hijrah bukan sahaja berlaku ke atas diri Nabi Muhammad s.a.w sahaja, malah telah terdahulu daripadanya para Anbiya seperti Nabi Ibrahim, Musa, Isa, Yusuf alaihimussalam dan lain-lain, ia berlaku kerana penentangan yang amat keras di kalangan masyarakatnya yang tidak dapat menerima dakwah atau seruan yang dibawa oleh mereka.
Maka berlakulah penentangan antara hak dan batil yang memang menjadi lumrah dan semulajadi hingga hari Kiamat.
Justeru, para Anbiya semuanya telah dijemput oleh Allah di sisinya, agama-Nya yang benar itu diwarisi oleh mereka yang cintakan Allah dan Rasul-Nya, maka golongan pewaris Islam sampai bila-bila berdepan dengan tribulasi ciptaan manusia yang tidak senang Islam mendapat sambutan menggalakkan.
Allah tidak akan membiarkan agama Islam terkulai layu tanpa yang menyambutnya, maka dia memilih di kalangan hamba-hambaNya individu-individu yang sanggup berkorban untuk agama-Nya, namun mereka terpaksa berdepan dengan ujian, cubaan, tribulasi yang direka oleh manusia-manusia yang tidak berapa senang Islam mendapat tempat di hati manusia, walaupun yang membencinya bernama Islam, tetapi pada masa yang sama menganut fahaman Sekularisme, Kapitalisme, Sosialisme, Nasionalisme, dan lain-lain.
Mereka berusaha untuk menangkap, memenjara, membunuh golongan yang mendaulatkan Islam tanpa bicara dan bukti yang sah lagi kukuh untuk menuduh mereka, ia sedang berlaku di negara-negara yang diperintah umat Islam sampai hari ini, khususnya mereka yang tidak meletakkan Islam sebagai agama perlembagaan negara.
Maka berlakulah penghijrahan golongan ulama’yang terpaksa meninggalkan negara masing-masing bukan atas alasan takut, tetapi kejahatan golongan pemerintah memuncak yang memaksa mereka keluar untuk mencari lokasi yang difikirkan munasabah untu meneruskan aktiviti dakwah di situ.
Rasulullah sendiri pernah menjadi sasaran musuh
Allah SWT berfirman menerusi ayat 30 surah al-Anfal:
“Dan (ingatlah) ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan segala daya upaya terhadapmu (Muhammad) untuk menangkap (memenjara), membunuh serta mengusirmu keluar dari (Mekah). Mereka membuat perancangan jahat dan Allah menggagalkan perancangan jahat mereka, dan Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya (perancangan).” Jelas ayat di atas, menunjukkan bahawa kejahatan orang-orang yang jahat terhadap kerja-kerja dakwah tidak terhenti setakat itu, malah mereka memilih salah satu jalan untuk memastikan dakwah itu gagal, sama ada melalui penangkapan terhadap pendakwah, mengusir, memenjara atau membunuh mereka tanpa kebenaran yang sah, itulah yang akan dilakukan sampai hari kiamat, tetapi yang lebih menduka-citakan ialah apabila ia dirancang sendiri orang yang bernama Islam.Sesungguhnya hijrah yang berlaku ke atas Rasulullah s.a.w itu bukan ke satu tempat tertentu, malah ia bermaksud hijrah kepada Allah bagi mendapatkan keredaan-Nya, ia bertepatan dengan firman Allah di atas lidah Nabi Ibrahim dan Nabi Lut dalam ayat 26 surah al-Ankabut : “Dan berkatalah Ibrahim : Sesungguhnya aku akan berpindah (berhijrah) ke tempat yang diperintahkan Tuhanku, sesungguhnya Dia Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Pengajaran daripada peristiwa Hijrah
 Hijrah telah melahirkan beberapa pendekatan berikut:
1. Sunnah Nabi keluar ke tempat jauh dengan ditemani seseorang (Saidina Abu Bakr).

2. Hijrah di waktu malam adalah paling sesuai untuk bermunajat kepada Allah, kerana pada waktu itu ramai di kalangan pihak musuh sedang seronok tidur.
3. Tidak salah mendapat dan menggunakan khidmat orang kafir bagi tujuan maslahat Islam sepertimana baginda menggunakan khidmat Abdullah Bin Uraiqit (Nasrani) menjadi petunjuk jalan ke Madinah.
4. Baginda mengatur strategi berdakwah agar tidak dapat dikesan oleh musuh dengan menghilangkan kesan tapak kaki dengan puluhan tapak kaki kambing yang diusahakan oleh Amir Bin Fuhairah.
5. Memberi pengiktirafan dan kepercayaan kepada seorang remaja/belia dalam kerja-kerja dakwah sepertimana baginda mengarahkan Saidina Ali Bin Abu Talib menggantikan tempat tidurnya.
6. Memberi pengiktirafan dan kepercayaan kepada seorang muslimah berperanan dalam memberi saham seperti Asma Binti Abu Bakar.
7. Memberi pengiktirafan dan kepercayaan kepada seorang remaja, Abdullah Bin Abu Bakr untuk mendapatkan rahsia bagi memudahkan kerja-kerja dakwah.
Sesungguhnya setiap daripada individu muslim, boleh memainkan peranannya sebagai anggota jamaah menurut kadar kemampuan dan ilmunya bagi memajukan Islam pada kadar yang termampu.
Perkara sunat yang dilakukan di bulan Muharam
1. Digalakkan berpuasa sunat pada awal Muharram.
2. Digalakkan berpuasa sunat pada 9 dan 10 Muharram.
Dikesempatan ini saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU 1434 HIJRAH kepada semua pembaca..member-member riders tak kira dimana jua anda berada dan semoga penghijrahan kita pada tahun baru ini akan lebih bermakna dari tahun2 yang sebelumnya...AMIN YA RABBALALLAMIN....
Kredit pada wakafalquran30.blogspot.com

Friday, November 2, 2012

Solat Jamak dan Qasar

Niat, Syarat & Cara Solat Jamak & Qasar



Salam bahagia kepada semua, terima kasih atas persoalan yang dikemukakan dari salah seorang pengunjung blog ini. Soalannya ialah “Berdasarkan keadaan sekarang ini terdapat banyak masjid dan surau d merata tempat,bolehkah Ustaz huraikan tentang solat jamak @ qasar yg mana pada dasar permerhatian saya sesetengah orang engan mengerjakan solat jamak @ qasar semasa bermusafir . Apakah niat, syarat dan cara mengerjakannya?”
 

Jawapannya


Menurut Dato Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid dalam bukunya Indahnya Hidup Bersyariat bahawa :

Pengertian solat jamak ialah mengumpulkan dua solat dalam satu waktu, contohnya mengumpulkan waktu zohor kepada asar atau asar kepada zohor, maghrib kepada isyak atau isyak kepada maghrib. Manakala solat qasar ialah memendekkan solat daripada 4 rakaat menjadi 2 rakaat. Solat yang boleh dipendekkan menjadi 2 rakaat ialah solat zuhur, asar dan isyak. Solat jamak atau solat qasar diharuskan kepada sesiapa yang musafir lebih dari 2 marhalah (60 batu) atau lebih 90 KM.
 

Pembahagian Solat Jamak


Jamak Taqdim ialah melakukan solat jamak pada waktu yang awal iaitu zuhur dan maghrib. Contohnya solat zuhur dijamakkan dengan asar pada waktu zuhur, solat maghrib dan isyak pada waktu maghrib, maka ini dinamakan solat jamak taqdim.

Jamak Takhir ialah melakukan solat jamak pada waktu yang akhir iaitu asar dan isyak. Contohnya melaksanakan solat zuhur dan asar pada waktu asar, solat maghrib dan isyak pada waktu isyak, maka ini dinamakan solat jamak takhir.
 

Hikmah dan Hukum solat Jamak dan Qasar


Hikmah solat Jamak dan Qasar adalah untuk mempermudahkan atau memberikan keringanan kepada orang yang musafir lebih dari 2 marhalah. Orang musafir sering mengalami masalah dalam perjalanannya, sukar untuk berhenti solat dan sebagainya, maka dari itulah Allah memberikan kemudahan kepada umat Islam untuk jamak dan qasar solat fardhunya. Tiada alasan lagi bagi orang yang musafir untuk meninggalkan solat fardhu. Hukum solat jamak dan Qasar ini adalah harus, terpulang kepada orang yang musafir untuk mendirikan solat sempurna atau jamak dan qasar, tidak menjadi masalah, nak buat jamak qasar tidak menjadi masalah atau tidak mahu buatpun tidak menjadi masalah.
 

Syarat Jamak Taqdim

  1. Solat pada waktunya yang awal seperti solat zuhur dan maghrib.
  2. Niat jamak pada waktu solat yang pertama.
  3. Berturut-turut antara solat yang pertama dan kedua dan tidak boleh diselangi dengan perbuatan lain dari solat.
  4. Diselangi dengan iqamah dan mengambil wuduk maka jamaknya tidak batal.
  5. Berkekalan musafirnya sehingga solat yang kedua.
Syarat Jamak Takhir
  1. Berniat untuk mentakhirkan solat yang pertama pada waktu kedua ketika masuk waktu solat pertama.
  2. Berkekalan musafir sehingga selesai kedua-dua solat.

Syarat Qasar
  1. Musafir hendaklah tidak bertujuan maksiat.
  2. Perjalanan tidak kurang dari dua marhalah.
  3. Solat yang diqasarkan hendaklah solat zuhur, asar dan isyak sahaja.
  4. Hendaklah diniatkan qasar dalam niat solat.
  5. Tidak boleh berimam orang yang solat penuh (sempurna).
  6. Berkekalan perjalanan sehingga sempurna solat.
  7. Dia tahu orang musafir itu harus mengerjakan solat qasar.

Niat Solat Jamak dan Qasar

Jamak Taqdim dan Qasar

Zuhur-Asar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر أداء لله تعالى

“Sengaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya asar tunai kerana Allah Taala”.

أصلي فرض العصر ركعتين قصرا مجموعا إلي الظهر أداء لله تعالى

“Sengaja aku solat fardhu asar dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada zuhur tunai kerana Allah Taala”.

Maghrib-Isyak

أصلي فرض المغرب ثلاث ركعات مجموعا إليه العشاء أداء لله تعالى

“Sengaja aku solat fardhu maghrib 3 rakaat dihimpunkan kepadanya isyak tunai kerana Allah Taala”.

أصلي فرض العشاء ركعتين قصرا مجموعا إلي المغرب أداء لله تعالى

“Sengaja aku solat fardhu isyak dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada maghrib tunai kerana Allah Taala”.


Jamak Takhir dan Qasar

Asar-Zuhur

أصلي فرض العصر ركعتين قصرا مجموعا إليه الظهر أداء لله تعالى

“Sengaja aku solat fardhu asar dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya zuhur tunai kerana Allah Taala”.

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلي العصر أداء لله تعالى

“Sengaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada asar tunai kerana Allah Taala”.


Isyak-Maghrib

أصلي فرض العشاء ركعتين قصرا مجموعا إليه المغرب أداء لله تعالى

“Sengaja aku solat fardhu isyak dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya maghrib tunai kerana Allah Taala”.

أصلي فرض المغرب ثلاث ركعات مجموعا إلي العشاء أداء لله تعالى

“Sengaja aku solat fardhu maghrib 3 rakaat dihimpunkan kepada isyak tunai kerana Allah Taala”.
Cara Mengerjakan Solat Jamak dan Qasar

Di sini saya datangkan cara mengerjakan solat jamak dan qasar berdasarkan penerangan Ustaz Sulaiman Endut dalam bukunya Asas-asas Fardhu Ain, iaitu seperti berikut :
  1. Solat zuhur dan asar itu hendaklah dilakukan dalam waktu zuhur. Kalau jamak takhir hendaklah dilakukan dalam waktu asar.
  2. Berdiri lurus mengadap kiblat.
  3. Berniat hendak mengerjakan solat zuhur secara jamak taqdim dan qasar. Kalau jamak takhir solat jamak dan qasar pada waktu terakhir.
  4. Setelah itu kerjakan solat zuhur sebanyak dua rakaat sehingga selesai memberi salam.
  5. Kemudian berdiri semula untuk mendirikan solat yang kedua iaitu asar.
  6. Berniat untuk mengerjakan solat asar secara jamak takhir.
  7. Kerjakanlah solat asar sebanyak dua rakaat sehingga selesai.
  8. Kalau qasar jamak taqdim atau jamak takhir antara solat maghrib dan isyak, maka hendaklah niatkan solat maghrib secara jamak takdim atau jamak takhir sahaja tanpa menyebut qasarnya.