Tuesday, March 26, 2013

Kaitan Wanita Dan Pokok Semalu

 بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Semalu atau dalam istilah saintifiknya ‘Mimosa pudica’ (Sensitive Plant) (pudica = shy), adalah suatu tumbuhan renek berduri yang sering dianggap menyusahkan dan sering tidak dipedulikan tetapi sifat yang tersirat dan pemalunya seharusnya dijadikan contoh ikutan para Muslimah.
Firman Allah SWT :

رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا

“Tidak Allah jadikan sesuatu itu sia-sia.” (Ali ‘Imran; Ayat 191)

Malu adalah salah satu sifat mahmudah yang seharusnya ada dalam diri setiap insan terutamanya seorang wanita muslim. Ia penting sebagai benteng untuk menjaga iman kita dari terhakis oleh perkara yang mungkin boleh menjerumuskan kita ke lembah maksiat dan perbuatan lain yang tidak elok.

Bila bercakap tentang malu, ada satu kisah menarik tentang MALU. Kisah antara Rasulullah  dan puteri baginda Fatimah r.a..
Pada suatu hari, Rasulullah  berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.

Fatimah mengatakan kepada Ayahndanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita.

Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.

Dan yang keempat dan terakhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.


Jadi, wahai para muslimah sekalian, ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanyalah tumbuhan renek yang melata tetapi sifat malu tetap terjaga dan kena pada tempatnya, yang sentiasa mempertahankan maruah dan harga diri, dan yang pandai menjaga diri.
Sabda Rasulullah  yang cukup indah; “Malu itu baik semuanya.” (Riwayat Bukhari)

Malangnya perasaan malu yang dianugerahkan oleh Allah SWT itu pula disalurkan pula di tempat yang salah. Contohnya malu bertanya semasa belajar di dalam kelas, malu untuk menutup aurat, malu berbuat baik dan seumpama dengannya.

Wanita Muslim sepatutnya malu dengan Allah SWT jika ingkar akan suruhanNya, malu dengan Rasulullah  jika meninggalkan sunahNya, malu kerana lupa atau malas membaca Al-Quran, malu kerana tidak menghormati guru serta ibu bapa, malu kerana melakukan maksiat, dan yang penting malu dengan dosa-dosa kita.

Ambillah pengajaran dari pokok semalu ini agar diri tidak terus malu tidak bertempat atau terjerumus ke lembah maksiat akibat hilangnya perasaan malu itu.

Sebenarnya malu itu adalah lambang kepada nilai keimanan seseorang muslim itu. Jika malu itu 50% daripada Iman, mana 50% lagi. Yang selebihnya ialah Takwa.  Malu dan Takwa adalah gandingan sifat yang menjadikan seseorang mempunyai 100% keimanan.  Takwa bermaksud bukan saja takut kepada Allah tetapi lebih daripada itu ‘Buat Apa Yang Disuruh Dan Tinggalkan Apa Yang Dilarang.’

Sabda Rasulullah  : “Malu dan iman itu adalah teman seiring dan sejalan. Jika yang satu diangkat nescaya terangkat pula yang satu lagi.” (Riwayat al-Tabarani-no.8313)

Kisah Rasulullah  bersama anaknya Fatimah r.a di atas boleh dijadikan panduan dan pedoman untuk diri berusaha menjadi seorang muslimah solehah. Biarlah apabila disebut perkataan muslimah, masyarakat akan segera terbayang dalam lubuk sanubari bahawa muslimah itu adalah seorang wanita bertudung labuh dan bersopan santun. Seorang perempuan pemalu yang kaya dengan iman dan jiwa yang kukuh. Pandangannya selalu tunduk terhadap perkara yang tidak sepatutnya dilihat, seorang yang bijaksana, tutur katanya yang sopan dan tingkah-lakunya yang pasti akan mengundang pandangan mulia oleh orang lain.

وَالسَّلاَمْ 

Kredit to shafiqalbu

No comments:

Post a Comment