Wednesday, April 17, 2013

Marah pengukur budi pekerti

لسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dalam melalui fasa kehidupan, sama ada di rumah mahupun di tempat kerja, bahkan di jalanan dan khalayak ramai, emosi kita kadangkala terganggu. Banyak masa kita gembira, namun ada ketika kita berdepan dengan perasaan kecewa dan marah.

Ada orang marahnya boleh ke tahap di luar batasan baik dengan perkataan mahupun perbuatan. Sifat marah keterlaluan ini boleh membawa kepada mudarat yang teruk sampai mengugut, mencedera dan membunuh.

Sesetengahnya sekadar ekspresi muka merah padam dan kelihatan bengis. Ada pula marahnya tidak kelihatan iaitu marah dalam diam. Zahirnya tenang, tetapi di dalam diri meluap-luap.

Hujjatul Islam Imam Ghazali mengatakan, sesetengah orang cepat marah, cepat tenang dan cepat hilang, sesetengah orang lagi lambat marah, lambat redanya dan bagi yang lain lambat marah dan cepat hilang iaitu orang dikategorikan sebagai terpuji. Marah adalah sifat semula jadi dan ia boleh berlaku apabila ada sebab tertentu. Tiada orang marah tanpa sebab. Cuma ada orang marahnya keterlaluan dan berpanjangan walaupun sebabnya kecil dan remeh.

Secara ilmiah sifat marah dibahagikan kepada dua iaitu pasif dan agresif. Marah berbentuk pasif contohnya membabitkan manipulasi psikologi seperti provokasi orang ramai untuk pencerobohan dan kemudian merendah-rendahkan mereka.

Marah berbentuk agresif seperti buli, melakukan kemusnahan, keganasan fizikal, penderaan, rogol, menyalah guna dadah, termasuklah pemanduan secara melulu, menggunakan bahasa dan jenaka yang kesat.

Sifat marah yang keterlaluan dan tidak semena-mena sebenarnya banyak mendatangkan keburukan, berbanding kebaikan. Malah, ia mencerminkan identiti dan penampilan diri seseorang. Diceritakan seorang lelaki datang kepada Rasulullah dari hadapan lalu berkata: “Wahai Rasulullah, apakah amal yang lebih utama? Jawab Baginda: “Elok perangai.” Selepas itu dia datang dari kiri Baginda, lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah amal yang lebih utama? Jawab Baginda: “Elok perangai.” Akhirnya dia datang dari belakang dan bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah amal yang lebih utama?” Jawab Baginda lagi: “Kenapalah engkau tidak faham! Elok perangai itu ialah engkau tidak usahlah marah jika engkau berupaya.” Jadi, tidak mudah marah itu menunjukkan keelokan budi pekerti dan tanda orang berperibadi tinggi. Sebaliknya orang yang cepat marah sudah tentu perangainya tidak elok dan berperibadi rendah. Lebih-lebih lagi dengan sifat itu sering kali terbawa sama sikap dan tingkah laku lain yang buruk. Dengan sifat itu seseorang boleh jadi dengan mudah mengatakan orang lain bodoh, bebal dan sial, sedang semuanya tiadalah moral terpuji.

Di rumah misalnya, seorang suami yang cepat marah tentu sekali mudah menengking dan mengherdik si isteri seolah-olah dia saja yang betul. Tambah memeritkan apabila marah itu disertakan dengan tindakan ganas.

Begitu juga di sekolah, seorang guru yang pemarah pantang muridnya melakukan kesilapan, diherdik dan didenda mengikut emosi, bahkan dipukul sepuas hati sehingga murid terbabit merana badan, sedang dalam diam menyimpan dendam berpanjangan.

Oleh itu, Nabi SAW menegah kita daripada terbawa-bawa dengan sifat marah. Daripada Abu Hurairah RA bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Berilah wasiat kepada aku. Jawab Nabi: Janganlah engkau marah. Kemudian dia mengulangi beberapa kali. Jawabnya: Janganlah engkau marah.” (Riwayat Bukhari) Nabi SAW juga dilaporkan ada bersabda pada hadis lain yang bermaksud: “Jauhilah kemarahan, kerana ia adalah bara api yang bernyala-nyala dalam hati anak Adam. Cubalah lihat bila seorang kamu dalam kemarahan, kedua-dua matanya merah, urat lehernya kelihatan timbul. Apabila seseorang berasa marah, hendaklah dia berbaring atau duduk di atas bumi.” Pernah Rasulullah menerangkan: “Bahawa kemarahan itu daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Api hanya dapat dipadam dengan air. Apabila marah oleh seorang kamu, hendaklah ia berwuduk.” Disebabkan marah adalah sifat semula jadi, kita bagaimanapun tidak boleh melenyapkannya sama sekali. Malah, Prof Hamka ada mengatakan bahawa kemarahan sesuatu yang perlu ada bagi manusia, kerana tanpa sifat itu manusia akan hilang daya pertahanan.

Tegasnya, kemarahan menjadi sebab wujudnya sensitiviti terhadap sesuatu perkara, sedangkan tanpa sifat itu, seseorang manusia tidak ubah seperti makhluk yang tidak bernyawa.

Oleh kerana itu, marah seseorang kerana agamanya dihina, rumah tangga dan tanah airnya diceroboh dianggap kena pada tempatnya, bahkan dituntut. Jadi, yang dikehendaki di sini kita perlu mengawal perasaan marah. Dalam hubungan ini, Aristotle ada mengatakan marah harus atas alasan dan terhadap orang yang betul serta dalam cara, waktu dan untuk tempoh yang betul. Sebab itu, jika kita marahkan seseorang, jangan pula dilepaskan sifat itu pada orang tidak sepatutnya dan mengikut sesedap rasa saja. Cubalah kawal kerana orang dapat mengawal diri adalah orang berperibadi tinggi, penyabar dan pemaaf.

Mungkin ada yang berpendapat dengan melepaskan perasaan marah dapat meredakan segala yang terpendam di hati, tetapi sedarkah orang lain juga punya hati dan perasaan? Mereka juga ada sifat marah.

No comments:

Post a Comment