ENTAH mengapa ramai kalangan kita memilih menolak sajian daging
kambing yang sering dipersalahkan sebagai penyebab masalah kolestrol dan
darah tinggi yang kemudian dikatakan membawa kepada penyakit jantung.
Sedangkan pada masa kini, kambing menyediakan 63 peratus daripada
bahan daging yang dimakan di seluruh dunia. Daging kambing juga menjadi
sumber protein utama di kebanyakan negara Arab dan Afrika Utara, selain
pemakanan penting di rantau Asia Tenggara, kepulauan Caribbean dan
kawasan tropika yang lain.
Di Barat pula, daging kambing semakin mendapat publisiti meluas
sebagai sumber protein yang lebih menyihatkan berbanding daging lemb,
Malah, terdapat kajian mendapati daging haiwan kambing lebih sesuai
dimakan oleh penghidap masalah berkaitan jantung.
Kumpulan penyelidik Sistem Kerjasama Pendidikan Lanjutan Alabama (Alabama Cooperative Extension System-ACES)
daripada Universiti Alabama dan Universiti Auburn, misalnya mengadakan
program pendidikan awam yang mempromosi daging kambing sebagai makanan
yang lebih sihat.
Kajian yang dijalankan ACES berkenaan khasiat daging kambing matang
berbanding lembu, kambing muda, bebiri, khinzir dan ayam mendapati
bahawa daging kambing adalah lebih pejal dan mengandungi komposisi
khasiat yang lebih baik.
Kesimpulan utama yang mereka dapati ialah kambing mengandungi paras
kolestrol dan lemak tepu yang jauh lebih rendah berbanding daging lain,
menjadikan ia sebagai pilihan makanan alternatif daging merah terbaik.
Kajian klinikal oleh Universiti Harvard pula, mengesahkan bahawa
lemak tepu adalah lemak tidak sihat yang meningkatkan risiko pelbagai
penyakit kardiovaskular, sedangkan lemak tidak tepu bagus untuk membantu
membaiki paras kolestrol, melegakan keradangan, menstabilkan rentak
jantung dan banyak lagi kebaikan yang lain.
Mereka mendapati bahawa lemak tepu menyebabkan paras kolestrol tidak
baik meningkat dalam darah sedangkan lemak tidak tepu pula membantu
mengurang keburukan itu dengan menaikkan paras kolestrol baik.
Keburukan utama kolestrol tidak baik dalam darah ialah kemampuannya
untuk melekat di dinding salur arteri dan menyebabkan plak yang
menjadikan ruang salur darah sempit atau tersekat, yang seterusnya
menyebabkan serangan jantung atau strok.
Lantas penemuan itu mengukuhkan lagi keyakinan ACES bahawa daging
kambing boleh membantu mengurangkan paras kolestrol dalam darah,
mengurangkan risiko atherosklerosis dan penyakit jantung menjadikannya
sesuai dimasukkan ke dalam diet jantung sihat.
Sebagai galakan pemakanan daging kambing, ACES menggaris dua peraturan asas menyediakan masakan berasaskan kambing.
"Ini termasuk gunakan suhu rendah kerana suhu yang terlalu panas akan
menyebabkan daging kambing cepat liat. Peraturan kedua pula ialah
memasak daging dalam kelembapan seperti peraman (marinade) basah sebelum dimasak ataupun masakan berkuah seperti kari atau stew," lapor mereka.
Semua kelebihan daging kambing daripada segi kesihatan itu diakui
oleh penyelidik dari Jabatan Pertanian Universiti Babcock, Nigeria.
Malah, kumpulan penyelidik itu menekankan pentingnya nilai nutrisi
kambing dalam aspek pengurusan kesihatan manusia sebagaimana yang
dilaporkan menerusi artikel mereka yang diterbitkan dalam Jurnal
Pertanian dan Kajihayat Amerika Utara.
Antara lain, artikel itu menyebut bahawa di Okinawa Jepun misalnya,
ibu hamil dan yang baru bersalin digalakkan memakan daging kambing untuk
menguatkan fizikal dan mengatasi keletihan.
Artikel tersebut juga membincangkan betapa pentingnya susu kambing
yang mempunyai komposisi yang lebih unik iaitu globular lemak lebih
kecil dan mudah dihadam berbanding susu lembu.
"Ciri ini membolehkan susu kambing digunakan untuk merawat masalah
alergi pada susu lembu, menjadikannya susu alternatif terbaik dan sangat
penting kepada bayi, orang dewasa dan juga ibu yang menyusukan bayi,"
tambah laporan itu.
Selain itu, mereka mendapati kandungan zat mineral susu kambing adalah lebih tinggi berbanding mamalia.
lain menjadikannya amat berguna untuk merawat penyakit anemia yang
diakibatkan oleh kekurangan zat besi dan penyakit tulang rapuh selain
dilaporkan berguna dalam rawatan kencing manis.
Artikel itu menjelaskan tentang kebaikan susu kambing untuk kesihatan
kulit, khususnya untuk membantu merawat penderita masalah seperti
psoriasis, ekzema atau jerawat.
"Pakar dermatologi biasanya menggalakkan pesakit menggunakan sabun
pembersih berpelembab berasaskan susu kambing untuk membantu melegakan
kulit kering dan gatal dan seterusnya menyembuhkan penyakit kulit," kata
laporan itu.
Memandangkan terdapat banyak bukti saintifik berkaitan khasiat dan
kebaikan daging serta susu kambing yang semakin diketahui ramai, maka
tidak mustahil permintaan bekalan global akan melonjak naik dalam waktu
terdekat.
Malaysia dilihat amat berpotensi untuk muncul sebagai pengeluar
kambing bagi memenuhi permintaan itu berdasarkan kesesuaian keadaan
iklim negara yang panas dan lembab sepanjang tahun.
Penternakan kambing meskipun dimulai secara kecil-kecilan tetap mampu
mencapai kejayaan
yang tinggi memandangkan kambing matang dengan cepat
dan membiak seawal usia lapan bulan.
Lagipun, pemakanan kambing tidak cerewet dan boleh dibiarkan bebas
meragut rumput dan tumbuhan renek belukar di kawasan kampung selain
najisnya yang lebih kecil dan tidak sebusuk najis lembu.
Walaupun satu ketika dulu, penternakan kambing di Malaysia lebih
sinonim dengan kaum India yang memang gemarkan sajian kambing
terutamanya masalla, trend itu mula berubah kebelakangan ini.
Kini, semakin ramai pengusaha muda Melayu termasuk lepasan ijazah
yang menjadikan kambing sebagai sumber rezeki khususnya bagi memenuhi
permintaan untuk majlis akikah dan korban Hari Raya Aidiladha.