Tuesday, December 23, 2014

CERITA PENGEMIS DAN ISTERI CANTIK

Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan diruang tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka."Tolonglah encik, saya lapar, sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi." Dengan muka bengis, si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu.
 
Dalam hatinya berkata "Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri dan keluargaku." Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.
 
Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isteri yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain.
 
Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan.
 
Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis itu, si isteri menangkup muka sambil menangis. Si isteri mengadu si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suamiya yang dulu pernah menengking seorang pengemis.
 
Suami yang baru itu menjawab dengan tenang. "Demi Allah, sebenarnya akulah pengemis yang dihalau dan ditengking dulu!".
 
Cerita ini memberi pengajaran bahawa hidup kita seperti putaran roda dan tidak selalunya diatas. Ada masa ketikanya kita akan turun kebawah dan naik semula atau sebaliknya.
 
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :
"Sedekah itu dapat menutup tujuh puluh ribu kejahatan".
Anas b. Malik pula meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda bermaksud :
"Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dengan kekayaannya, barang siapa yang mempunyai ilmu, maka bersedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga, bersedekahlah dengan tenaganya".  

Thursday, December 4, 2014

Petani dan mata air ajaib...

Alkisah, seorang petani menemui sebuah mata air ajaib. Mata air itu boleh mengeluarkan kepingan wang emas yang tak terhingga banyaknya. Mata air itu boleh membuat si petani menjadi kaya raya seberapapun yang diinginkannya, sebab mata air wang emas itu hanya akan berhenti bila si petani mengucapkan perkataan “cukup”. Seketika si petani terpana melihat kepingan wang emas berjatuhan di depan matanya.

Diambilnya beberapa baldi untuk menampung wang percuma itu. Setelah semuanya penuh, dibawanya ke pondok kecilnyanya untuk disimpan disana. Pancuran wang terus mengalir sementara si petani terus mengisi semua karungnya, seluruh tempayannya, bahkan mengisi penuh rumahnya.


Masih kurang! Dia menggali sebuah lubang besar untuk menimbun emasnya. Belum cukup, dia membiarkan mata air itu terus mengalirkan wang emas hingga akhirnya petani itu mati tertimbus bersama ketamakannya kerana dia tak pernah boleh berkata cukup.

Perkataan yang paling sukar diucapkan oleh manusia kemungkinan adalah perkataan “cukup”. Bilakah kita boleh berkata cukup? Hampir semua pegawai merasakan gajinya belum boleh dikatakan sepadan dengan kerja kerasnya.

Peniaga hampir selalu merasakan keuntungan perniagaanya masih di bawah target. Isteri mengeluh suaminya kurang beri perhatian padanya. Suami berpendapat isterinya kurang mengerti kehendaknya. Anak-anak menganggap orang tuanya kurang murah hati.

Semua merasa kurang dan kurang. Bilakah kita boleh berkata cukup?

Cukup bukanlah pasal berapa jumlahnya. Cukup adalah persoalan kepuasan hati. Cukup hanya boleh diucapkan oleh orang yang boleh bersyukur. Tak perlu takut berkata cukup.

Mengucapkan perkataan cukup bukan bererti kita berhenti berusaha dan berkerja. “Cukup” jangan diertikan sebagai keadaan berpuas hati.

Mengucapkan perkataan cukup membuat kita melihat apa yang telah kita terima, bukan apa yang belum kita dapatkan. Jangan biarkan kerakusan manusia membuat kita sukar berperkataan cukup. Belajarlah mencukupkan diri dengan apa yang ada pada diri kita hari ini, maka kita akan menjadi manusia yang berbahagia.

Belajarlah untuk mengucapkan perkataan “Cukup” .

Kredit to ceritapermatahati....

Thursday, November 27, 2014

Cerpen...Mana Mak

Jam 6.30 petang.

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bongsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “ Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian,

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"

Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah , “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah ....bangun." Suara Ateh memanggil ayah . Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa perasaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. KataRasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah . Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telefon panggilan dari ibu tanpa berjawab?

Ps: Ingat, kita cuma ada 1 sahaja ibu dan ayah di dunia ini. Jangan sampai apabila mereka sudah tiada, barulah kita hendak menangis.

Kredit to ceritapermatahati..

Wednesday, October 29, 2014

WOW...

 
Bila terpandang gambar2 pemandangan cam ni..tenang rasa jiwa..hilang stress..alangkah hebatnya keindahan ciptaan Allah..tuhan yg MAHA Esa ini..Ya Allah Ya Tuhan ku...kerdil aku rasa diri ini..alangkah hebat NYA engkau Ya Allah yang telah menjadikan dan mencipta seluruh pelusok bumi ini..tak terkata dengan kata2 dan tak tergambar dek kotak fikiran aku yang kerdil ini..
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
walaupun ada di antara gambar2 ini hanyalah sekadar lukisan mata pena pelukis2 handalan tapi hakikatnya inilah dia reality dalam kehidupan seharian kita..inilah dia kehebatan pencipta alam semesta ...dialah Tuhan...ALLAH yang MAHA esa lagi MAHA mengetahui segala2nya dari segenap sudut alam ini...Ya Allah Ya Tuhan ku sesungguhnya aku serahkan segala jiwa dan raga ku ini hanya untuk engkau Ya Allah...Jadikanlah kehidupan aku ini kehidupan yang penuh dengan rasa keinsafan..AMIN...

Kisah seorang lelaki yang ingin memukul Rasulullah

Kisah ini berlaku pada Rasulullah S.A.W. sebelum baginda wafat.

Rasulullah S.A.W. telah jatuh sakit yang agak panjang masanya.

Hinggakan baginda tidak dapat berjemaah dengan para sahabat di masjid.

Maka pada suatu hari, Rasulullah S.A.W. meminta beberapa orang sahabat membawanya ke masjid.

Di dudukkan atas mimbar, lalu baginda meminta Bilal memanggil semua para sahabat datang ke
masjid.

Tidak lama kemudian, penuhlah masjid dengan para sahabat.

Semuanya rasa terubat rindu setelah agak lama tidak dapat melihat Rasulullah S.A.W.

Lalu Rasulullah S.A.W. mula berkata: "Wahai sahabat-sahabatku semua! Aku ingin tanya pada kamu semua.... apakah telah aku sampaikan kepada kamu semua, bahawa sesungguhnya Allah S.W.T. itu adalah Tuhan yang layak di sembah?"

Semua sahabat menjawab dengan suara bersemangat, " Benar! Engkau telah sampaikan kepada kami bahawa sesungguhnya Allah S.W.T. adalah Tuhan yang layak disembah".

Rasulullah S.A.W. berkata: "Persaksikanlah ya Allah! Sesungguhnya aku telah
sampaikan amanah ini kepada mereka".

Kemudian baginda berkata lagi.......dan setiap apa yang baginda perkatakan, akan dibenarkan oleh semua para sahabat.

Akhirnya sampailah kepada satu topik yang menjadikan para sahabat agak sedih dan terharu....

Rasulullah S.A.W. berkata: "Sesungguhnya! Aku akan pergi bertemu Tuhan.......dan sebelum aku pergi, aku ingin selesaikan segala urusan dengan manusia.

Maka aku ingin bertanya kepada kamu semua...... siapakah di kalangan kamu yang aku ada hutang dengannya.....sila bangun.....aku ingin selesaikan hutang tersebut.

Kerana aku tidak mahu bertemu Tuhan dalam keadaan ada hutang dengan manusia".

Ketika itu semua sahabat diam.............sedang dalam hati masing-masing berkata: "Mana ada Rasullullah S.A.W. berhutang dengan kami..........sebenarnya kamilah yang banyak berhutang dengan baginda".

Rasulullah S.A.W. mengulangi pertanyaan itu sebanyak 3 kali.

Tiba-tiba bangun seorang lelaki yang bernama Akasyah. lalu dia berkata: "Ya Rasulullah! Aku ingin ceritakan dulu perkara ini. Andai ianya dikira hutang, maka aku minta kau jelaskan. Andainya ianya bukan hutang, maka tidak perlulah engkau berbuat apa-apa".

Rasulullah S.A.W. berkata: "Ceritakanlah wahai Akasyah".

Maka Akasyah pun mula bercerita: "Aku masih ingat lagi ketika perang Uhud dulu, satu ketika engkau tunggang kuda, lalu engkau pukulkan cemeti ke belakang kuda. Tetapi cemeti tersebut tidak kena pada belakang kuda,...yang sebenarnya cemeti itu terkena pada dadaku kerana ketika itu aku berdiri di sebelah belakang kuda yang engkau tunggang wahai Rasulullah".

Mendengar yang demikian, terus Rasulullah S.A.W. berkata: "Sesungguhnya itu adalah hutang wahai Akasyah! kalau dulu aku pukul engkau, maka hari ini aku akan terima hal yang sama".

Dengan suara yang agak tinggi, Akasyah berkata: "Kalau begitu aku ingin segera melakukannya wahai Rasulullah!".

Akasyah seakan-akan tidak rasa bersalah bila mengatakan yang demikian.

Sedangkan ketika itu sebahagian sahabat berteriak memarahi Akasyah....

"Sesungguhnya engkau tidak berhati perut wahai Akasyah! .....bukankah Baginda sedang sakit!"

Akasyah tidak menghiraukan semua itu.

Rasulullah S.A.W. meminta Bilal mengambil cemeti tersebut di rumah anaknya Fatimah.

Bila Bilal meminta cemeti tersebut dari Fatimah, maka Fatimah bertanya: "Untuk apa Rasulullah meminta cemeti ini wahai Bilal?"

Bilal menjawab dengan nada sedih: "cemeti ini akan digunakan oleh Akasyah untuk memukul Rasulullah".

Terperanjat dan menangis Fatimah seraya berkata: "Kenapa Akasyah hendak pukul ayahku Rasulullah!......ayahku sedang sakit........kalau nak pukul, pukullah aku ini anaknya".

Bilal menjawab: " Sesungguhnya ini adalah urusan antara mereka berdua".

Bilal membawa cemeti tersebut ke masjid lalu diberikan kepada Akasyah.

Setelah mengambil cemeti, Akasyah mara ke hadapan menuju mimbar.

Tiba-tiba bangun Abu bakar menghalang Akasyah sambil berkata: "Wahai Akasyah! kalau kamu hendak pukul, pukullah aku.......aku orang yang mula-mula beriman dengan apa yang Rasulullah S.A.W. sampaikan. Akulah temannya di kala suka dan duka. Kalau engkau hendak pukul, maka pukullah aku".

Lalu dijawab oleh Rasulullah S.A.W: "Duduklah kamu wahai Abu bakar!....ini bukan urusan kamu. Ini antara aku dengan Akasyah".

Akasyah mara lagi ke hadapan......lalu bangun pula Umar menghalang Akasyah seraya berkata: "Akasyah! kalau engkau hendak pukul, pukullah aku....... Dulu memang aku tidak suka mendengar nama Muhammad, bahkan aku pernah berniat untuk menyakitinya, itu dulu.........Sekarang jangan ada sesiapa yang berani menyakiti Muhammad. Kalau engkau nak sakiti dia, maka sakitilah aku dulu....".

Lalu dijawab oleh Rasulullah S.A.W: "Duduklah kamu wahai Umar! Ini urusan antara aku dengan Akasyah".

Akasyah mara lagi ke hadapan.......tiba-tiba bangun pula Ali bin Abu Talib sepupu Rasulullah S.A.W.

Dia menghalang Akasyah seraya berkata: "Akasyah! pukullah aku wahai Akasyah. Darah yang sama ada pada tubuh aku ini wahai Akasyah".

Lalu dijawab oleh Rasulullah S.A.W: "Duduklah kamu wahai Ali! ini urusan antara aku dengan Akasyah" .

Akasyah mara lagi ke hadapan......tiba-tiba tanpa disangka, bangunlah dua orang cucu kesayangan Rasulullah S.A.W. iaitu Hassan dan Husin.

Mereka berdua merayu dan meronta.

"Wahai pak cik! pukullah kami wahai pak cik..........Datuk kami sedang sakit........pukullah kami
wahai pak cik.....sesungguhnya kami ini adalah cucu kesayangan Baginda...........pukullah kami wahai pak cik".

Lalu Rasulullah S.A.W berkata: "Wahai cucu-cucu kesayanganku! duduklah kamu. Ini urusan aku dengan Akasyah".

Bila sampai di tangga mimbar, dengan tegasnya Akasyah berkata: "Macam mana aku hendak pukul engkau ya Rasulullah! Engkau duduk di atas dan aku di bawah. Kalau engkau hendak aku pukul engkau, maka turunlah ke bawah sini".

Rasulullah S.A.W. memang seorang insan yang baik. Baginda meminta beberapa orang sahabat memapahnya ke bawah.

Baginda didudukkan pada sebuah kerusi, lalu dengan suara tegas Akasyah berkata lagi: "Semasa engkau pukul aku dulu, aku tidak memakai baju, Ya Rasulullah".

Tanpa berlengah, dalam keadaan lemah......Rasulullah membuka baju.

Lalu kelihatanlah tubuh Baginda yang sungguh indah, sedang beberapa ketul batu terikat di perut Baginda.....ini menandakan Baginda sedang menahan kelaparan.

Lalu Rasulullah S.A.W. berkata: "Wahai Akasyah! bersegeralah dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Nanti Tuhan akan murka pada kamu".

Akasyah terus menghampiri Rasulullah S.A.W........lalu mula untuk menghayunkan tangan yang memegang cemeti untuk dipukulkan ke tubuh Rasulullah S.A.W.

Rupa-rupanya sambil Akasyah menghayun cemeti, sambil itu juga dia membalingkan cemeti ke arah lain.....dan sambil itu juga dia terus memeluk tubuh Rasulullah S.A.W. seerat-eratnya.

Sambil berteriak menangis, Akasyah berkata: "Ya Rasulullah, ampunkanlah aku......maafkanlah aku......mana ada manusia yang sanggup menyakiti engkau ya Rasulullah........sengaja aku melakukannya agar aku dapat merapatkan tubuhku dengan tubuhmu.......kerana sesungguhnya aku tahu bahawa tubuhmu tidak akan dimakan oleh api neraka. Dan sesungguhnya aku takut dengan api neraka........maafkanlah aku ya Rasulullah".

Rasulullah S.A.W. dalam keadaan penuh hiba lalu berkata: "Wahai sahabat-sahabatku semua, kalau kamu ingin melihat ahli syurga, maka lihatlah kepada Akasyah".

Semua sahabat tidak dapat menghalang titisan air mata yang mencurah di pipi masing-masing.

Sambil itu semua para sahabat beramai-ramai memeluk Rasulullah S.A.W.

Friday, October 24, 2014

ANJING DAN ISU MASYARAKAT MALAYSIA


Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
 
Dalam masyarakat yang rencam agama dan budaya, pelbagai perkara sensitif mudah timbul. Di zaman teknologi maklumat, bermacam sudut pandang akan muncul. Sememang inilah reality masyarakat ‘era baru’ kini yang mempunyai pelbagai dimensi dan perspektif baru yang tidak dimiliki oleh generasi yang hidup dalam era yang lepas.
Umpamanya apabila isu video anjing yang dikaitkan dengan umat Islam menyambut hariraya timbul, pelbagai reaksi lahir. Ada yang kata anjing binatang yang dimusuhi oleh Islam. Ada yang kata video itu hina umat Islam. Ada yang kata perbuatan memegang anjing diharamkan oleh Islam. Ada pula yang kata apa salahnya kita membela anjing macam orang lain. Macam-macam lagi yang ditimbulkan. Ada yang berdasar fakta, ada berdasar emosi.
Ramai yang meminta saya mencoretkan sesuatu tentang anjing pada pandangan muslim. Dalam ruang yang terbatas ini, saya ingin sebutkan secara ringkas isu-isu berikut;

Samakan Dengan Anjing
Walaupun manusia mempunyai pelbagai latar budaya dan agama, namun secara umumnya kesemua masyarakat menganggap menyamakan mana-mana individu dan pihak dengan anjing merupakan satu penghinaan. Sekalipun masyarakat Barat ramai yang menganggap ‘a dog is a man’s best friend’ namun jika kita berkata ‘you are like a dog’ ia merupakan satu penghinaan. Jika pun ada yang memahami dengan maksud kesetiaan ataupun loyalty namun ia bermaksud kesetiaan yang membuta tuli.
Al-Quran juga menjadikan anjing sebagai satu perumpamaan yang buruk bagi golongan ulama penjilat dunia yang menjual prinsip kebenaran demi kepentingan diri. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).
Jadi, jika masyarakat muslim sensitif apabila mereka ataupun amalan mereka dibandingkan dengan anjing, maka itu memang sepatutnya. Mereka yang membuat apa-apa provokasi dalam hal yang seperti itu memang membuat onar dan ingin menimbul permusuhan dengan masyarakat muslim tanpa sebab. Perbuatan itu merosakkan keharmonian masyarakat di negara ini.

Islam Benci Anjing?
Ada orang bertanya pula, jadi apakah Islam membenci anjing dan melarang muslim berbuat baik kepada binatang berkenaan?
Dalam al-Quran Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman mereka. Firman Allah: (maksudnya)
“dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 18).
Anjing tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir’.

Sementara dalam hadis pula, Nabi s.a.w bersabda:
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).
Betapa seorang pelacur yang buruk sekalipun diampuni dosanya oleh Allah kerana dengan ikhlas memberikan minum kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin untuk kita menganggap bahawa Islam tidak menilai sebagai satu perbuatan yang baik jika muslim memberi makan dan minum kepada anjing?!! Jika ada orang muslim yang memberi makan kepada anjing patutlah dipuji.

Bolehkah muslim memiliki anjing?
Dalam al-Quran, Allah menyebut: (maksudnya)
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” bagi menjawabnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang baik-baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu, oleh itu makanlah dari apa yang mereka (binatang-binatang buruan) itu tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisabNya” (Surah al-Maidah, ayat 4)
Binatang pemburu yang biasa digunakan ialah anjing. Kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir dan selainnya akan menyebut anjing sebagai pemburu utama. Juga perkataan mukallibin dalam ayat ini boleh bermaksud tuan-tuan empunya anjing seperti yang disenarai oleh al-Imam Ibn al-Jauzi (meninggal 597H) dalam Zad al-Masir.
hunting_dog
Ertinya, muslim memiliki anjing buruan. Demikian dia boleh memiliki anjing yang menemaninya berjalan atau menjaga keselamatan rumah seperti anjing Ashab al-Kahfi yang disebutkan tadi.

Bolehkah Muslim Memegang Anjing?
Ada yang menyatakan haram memegang anjing kerana najis. Kalau kerana ia najis haram dipegang, maka haram juga seseorang menyentuh najis dirinya, ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika membersihkannya. Haramlah juga mereka yang berkerja yang membabitkan bahan-bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun nanah dan lain-lain. Begitu juga dengan doktor veterinar. Maka itu kesimpulan hukum yang cetek.
Najis boleh disentuh tetapi hendaklah dibasuh apabila kita hendak beribadat ataupun berurusan dengan masyarakat. Menyentuh anjing yang kering sepakat ulama tidak najis. Menyentuh anjing basah khilaf pendapat dalam kalangan sarjana. Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini. Namun, pendapat-pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah. Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis :
“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).
anjing_jilat
 
Memelihara Anjing Dalam Rumah
Adapun memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam. Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan berada pada hukum makruh. Ada ulama yang mengharamkan. Namun hadis di atas tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja. Maka, hukum makruh dipilih oleh sebahagian fuqaha. Hikmahnya, mungkin atas beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.
Islam menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang suka dengan anjing. Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah orang. Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan. Salakan anjing dan bulu-bulu di sana-sini bagaikan tidak mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam agama kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara-mara dan sahabat handai.
Dari segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai kemerbahayaannya. Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak kajian yang telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing. Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana kemerbahayaannya. Itu semua bukan bererti penindasan atau kekejaman!
Dalam hadis tadi, Nabi s.a.w:
“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).
Untuk mengelakkan jilatan anjing yang sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan juga bahaya dari segi saintifik maka Islam melarang untuk kita memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan.
Maka ini ringkasan yang sempat saya coretkan petang ini berhubung dengan sisi pandangan nas-nas Islam berkaitan dengan anjing.

Perbezaan Handphone Set Original vs Set AP


 

Apa itu Original set dan apa itu AP Set?

Apakah perbezaan di antara Original set dan AP Set?

Bagaimanakah perbezaan warranty di antara Original set dan AP set?
 
Apakah perbezaan kualiti di antara Original set dan AP set?
 
Bagaimanakah perbezaan harga Original set dan AP set?
 
Semua soalan di atas merupakan antara yang bermain di kepala sebelum membuat keputusan membeli sebuah handphone samada Original set atau AP Set. Ini kerana jualan handphone terutama smartphone seperti cendawan tumbuh masa kini dengan harga adalah amat berbeza walaupun model yang sama. Di bawah merupakan jawapan kepada persoalan di atas:
 
 
AP Set 
AP set ialah telefon yang diimport dengan kebenaran kastam, yakni telah dicukaikan oleh kastam dengan mendapat Approval Permit. AP set ertinya telefon ini diimport oleh Syarikat yang selain daripada pengedar yang sah (authorised distributor) seperti yang telah disebutkan tadi.

Ada di antara syarikat-syarikat yang import ini adalah syarikat yang besar. Jadi mereka boleh memberi jaminan yang agak elok juga, kerana syarikat jenis ini banyak cawangan di seluruh malaysia. Jaminan yang diberikan bukanlah jaminan daripada NOKIA atau SAMSUNG atau SE atau dengan kata lain, bukan jaminan pengilang, tetapi jaminan oleh pengimport itu sendiri.

Oleh itu, jaminannya sangat terhad. Terutama apabila telefon mempunyai masalah sehingga Charger dengan bateri kadang kala barang tiruan yang digunakan, bukan yang original daripada kilang telefon itu sendiri. Pilihlah kedai yang sudah dikenali dan mendapat rating daripada pengguna yang telah membeli dari kedai tersebut. Contohnya Directd di SS15 Subang Jaya.


Original set 
Apa yang dimaksudkan dengan ORI sebenarnya ialah telefon-telefon yang diedarkan oleh PENGEDAR YANG SAH yang dilantik dan diberi lesen pengedaran yang khas oleh pengeluar-pengeluar telefon seperti Nokia, Samsung, Motorola, SonyEricsson, Lenovo dan lain-lain lagi.

Telefon ini telah disediakan khas untuk jualan di Malaysia dengan beberapa sistem yang diselaraskan dengan sistem yang disokong oleh industri telekomunikasi Malaysia. Contohnya sistem bahasa Malaysia dalam telefon bimbit dan dalam buku panduannya.

Walaupun harganya mungkin agak mahal, tetapi anda akan rasa lebih selamat menggunakannya kerana jaminan yang diberikan adalah jaminan oleh PENGILANG sendiri. Ertinya, sekiranya berlaku kerosakan telefon anda, termasuk kerosakan kamera, anda boleh claim warranty dalam tempoh jaminan tersebut. Bahkan dalam sesetengah kes, pada luar tempoh jaminan pun dapat juga. 

Cari sahaja cawangan NOKIA, atau SAMSUNG atau apa jua jenama di negeri-negeri seluruh Malaysia, anda boleh bawa ke mana-mana cawangan jika ada kerosakan. Bahkan bagi sesetengah telefon ada Insurans untuk kerosakan apabila telefon masuk air pun! 

Berikut adalah senarai pengedar SAH (authorized distributor) bagi jenama telefon di Malaysia: 

NOKIA – Zitron, Avaxx, i-Mobile
SAMSUNG – Samsung, FMG
MOTOROLA – Midlands, Brightstar, Thorus
SONY ERICCSON - Midland, Grandtech dan T-Choice
HTC - SiS
LG - Thorus
IPHONE - Apple
LENOVO - ECS, Ingram Micro

Itulah antara Syarikat yang merupakan pengedar yang sah di Malaysia. Selain daripada itu adalah pengedar tidak sah walaupun mereka dakwa ORI set.

Perbezaan Kualiti
Dari segi kualiti, AP set adalah sama dengan original set. Ada company yang menjual AP set dengan companynya bertaraf ISO. Mereka boleh buktikan ini adalah set baru dari NOKIA tetapi AP.

Tidak dapat dinafikan ada peniaga yang mengambil untung dengan menukar set dalaman dan menjualnya dengan harga yang sama dengan set original dipanggil set recond.

Warranty

AP Set 
Dari segi warranty AP Set, paling baru AP set menawarkan warranty selama 24 BULAN untuk transceiver (mainboard/chipset) dan 3 BULAN untuk LCD, 3 BULAN warranty diberikan untuk battery dan charger. Warranty pula adalah dari Brandstar contohnya, bukan dari SONY. 

Urusan membaik pulih telefon di dalam warranty diuruskan oleh syarikat baik pulih mereka sendiri atau yang mempunyai hubungan dengan syarikat mereka. Kebiasaannya syarikat baik pulih handphone ini wujud berdekatan tetapi tidak semua. 

Oleh itu, kalau jikalau beli AP set di Kuala Lumpur, pembeli kena menghantar set mereka yang rosak kembali ke Kuala Lumpur walaupun mereka telah berpindah ke tempat lain misalnya.

 
Original Set 
Warranty Original set pula datangnya dari Midland atau company original yang lain. Warranty adalah selama 1 TAHUN termasuk trasceiver, LCD dan battery. Oleh kerana kita beli yang original, tentulah kita expect national warranty, jadi kalau kita beli di Kuala Lumpur kita boleh hantar set yang rosak di mana-mana wakil yang sah dan dilantik di kawasan berhampiran.


 
Harga 
Harga ap set adalah lebih murah dari original biasanya di dalam 10% - 30% lagi murah. Contohnya harga Sony Experia Z1 berharga lebih kurang RM1559. Original set ialah RM 1839. Perbezaan sebanyak RM280. Oleh itu, pembeli lebih berminat untuk membeli set AP disebabkan harganya. 

Adakalanya set AP tiada pilihan dari segi warna. AP set kadangkala datang dengan hanya satu warna dan menyebabkan pilihan pelanggan menjadi sukar. Memang kadangkala terdapat warna yang diingini tetapi ia kadangkala datang dalam satu warna dalam satu batch. 

Cara kenal pasti Set Original dan Set AP 

Paling Utama:
Lihat pada sticker belakang handphone, kalau tertulis selain daripada syarikat-syarikat yang sah yang disebutkan di atas, maka ia adalah AP. Stiker yang ORI biasanya tidak akan ditampal melindungi nombor siri telefon.

Kedua:
Boleh tengok kad warranty, kad warranty daripada pengedar sah, akan tertera nama syarikat pengedar yang sah tersebut. 

Ketiga: 
No Siri telefon: IMEI di belakang bateri itu sama dengan nombor siri di kotak. Jika anda membeli yang ORI, pastikan anda dapat kotak yang ada Nombor Siri yang sama dengan handphone. Sekalipun di telefon anda tertulis ZITRON, jangan terima kotak yang nombor sirinya berbeza dengan di telefon anda. 

Sekarang ini, terpulanglah untuk anda memilih yang mana sesuai bagi anda. Nak murah, pilih AP, ada duit lebih ambik yang ORI. Kalau tak pandai jaga ori atau AP tetap sama. Dan perlu diingat set klon totally different dari set ori dan AP


Wednesday, September 17, 2014

BERHATI HATI DIUSIA 40 TAHUN

Ramai tidak sedar dalam al-Quran ada menyentuh tentang usia ini. Tentu ada yang sangat penting, perlu diperhatikan dan diambil serius akan perkara ini. Allah swt. berfirman,
حَتَّى إَذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِى أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِى أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِى فِى ذُرِّيَّتِى إِنِّى تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّى مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ
“Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (al-Ahqaf: 15)
Usia 40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat ini. Pada usia inilah manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia dewasa yang sebenar.
Doa yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas bahawa mereka; telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah
Pada ayat yang lain, firman Allah;
أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيْهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيْرُ
Apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi peringatan? (al-Fathir: 37)
Menurut Ibnu Abbas, Hasan al-Bashri, al-Kalbi, Wahab bin Munabbih, dan Masruq, yang dimaksud dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir” dalam ayat tersebut tidak lain adalah ketika berusia 40 tahun.
Menurut Ibn Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah dengan bersungguh2.
Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya) Kematangan.
Usia 40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas:
“Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (riwayat al-Bukhari).
Nabi Muhammad saw. diutus menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun. Begitu juga dengan nabi2 yang lain, kecuali Nabi Isa as. dan Nabi Yahya as.
Banyak negara menetapkan untuk menduduki jabatan2 elit seperti ketua negara, disyaratkan bakal calon harus telah berusia 40 tahun. Masyarakat sendiri mengakui prestasi seseorang mantap tatkala orang itu telah berusia 40 tahun. Soekarno menjadi presiden pada usia 44 tahun. Soeharto menjadi presiden pada umur 46 tahun. J.F. Kennedy 44 tahun. Bill Clinton 46 tahun. Paul Keating 47 tahun. Sementara Tony Blair 44 tahun.
Mengapa umur 40 tahun begitu penting.
Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 (empat) period, iaitu
1. Kanak-kanak ( sejak lahir hingga akil baligh )
2. Muda atau syabab ( sejak akil baligh hingga 40 tahun )
3. Dewasa ( 40 tahun hingga 60 tahun )
4. Tua atau syaikhukhah ( 60 tahun hingga mati )
Usia 40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan beralih kepada masa dewasa penuh. Kenyataan yang paling menarik pada usia 40 tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang terhadap agama sedangkan semasa mudanya jauh sekali dengan agama. Seolah-olah macam satu fitrah di usia ini ramai yang mula menutup aurat dan mendekati kuliah-kuliah agama.
Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda Rasulullah saw.,
لعَبْدُ الْمُسْلِمُ إِذَا بَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً خَفَّفَ اللهُ تَعَالَى حِسَابَهُ ، وَإِذَا بَلَغَ سِتِّيْنَ سَنَةً رَزَقَهُ اللهُ تَعَالَى الْإِنَابَةَ إِلَيْهِ ، وَإِذَا بَلَغَ سَبْعِيْنَ سَنَةً أَحَبَّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ ، وَإِذَا بَلَغَ ثَمَانِيْنَ سَنَةً ثَبَّتَ اللهُ تَعَالَى حَسَنَاتِهِ وَمَحَا سَيِّئَاتِهِ ، وَإِذَا بَلَغَ تِسْعِيْنَ سَنَةً غَفَرَ اللهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ وَشَفَّعَهُ اللهُ تَعَالَى فِى أَهْلِ بَيْتِهِ ، وَكَتَبَ فِى السَّمَاءِ أَسِيْرَ اللهِ فِى أَرْضِهِ – رواه الإمام أحمد
“Seorang hamba muslim bila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai 60 tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepadaNya. Bila usianya mencapai 70 tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan bila usianya mencapai 90 puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang dahulu, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai tawanan Allah di bumi. (riwayat Ahmad)
Hadis ini menyebut usia 40 tahun paling awal memiliki komitmen terhadap penghambaan kepada Allah swt. sekaligus konsisten terhadap Islam, maka Allah swt. akan meringankan hisabnya. Orang yang usianya mencapai 40 tahun mendapatkan keistimewaan berupa hisabnya diringankan. Tetapi umur 40 tahun merupakan saat harus berhati2 juga. Ibarat waktu, orang yang berumur 40 tahun mungkin sudah masuk senja. Abdullah bin Abbas ra. dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dpt mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke neraka.”
Imam asy-Syafi’i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahwa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa2 syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syara’ lazim bagiku. Di antara aku dan dia ada Allah.”
Lantas, apa yang harus kita lakukan menginjak usia 40 tahun?
1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritual
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga istiqamah dalam ibadah.
Jika ada yang mengatakan bahawa: Life began at forty, saya cenderung berpendapat kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada mendekatkan diri kepada penciptaNya dengan sebenar-benarnya. Tetapi satu perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia. Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk baru memulakan kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan sia-sia lah hidup kita jika umur kita tidak panjang.
Maksud sabda Nabi Muhammad S.A.W ,” Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati”.
Ramai manusia tertipu dengan keindahan dunia dan isinya yang bersifat sementara. Sejak Nabi Adam as. sehingga kini, kesemuanya telah kembali kepada Allah swt. tidak kira kaya atau miskin, berpangkat atau tidak. Mengingati mati bukan bermakna kita akan gagal di dunia tetapi dengan mengingati mati kita akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. janganlah menunggu sehingga esok untuk membuat persediaan menghadapi kematian, kerana mati boleh datang pada bila-bila masa..

Thursday, September 11, 2014

Friendly Game Kat MCKK Kuala Kangsar

 Minggu lepas hari Sabtu 06 Sep 2014..aku ngan member2 office aku(BURSA MALAYSIA) ke Kuala Kangsar untuk mengadakan perlawanan persahabatan ngan cikgu2 MCKK kat padang sekolah dia orang..aku start gerak dari office sekitar pkl 12:30pm dan sampai kat sana pkl 04:00pm..sempatlah lepak dalam sejam sebelum sepak mula pkl 05:15pm..agak kepenatan gak sebelum nak main tu..maklumjelah sampai2 je lepak jap dah nak main..penat drive pun lum reda lg dah nak main..serba tak menjadi 15 pertama permainan..hantaran tah kemana..nak berlari pun rasa berat je kaki ni..bukan aku sorang je..suma player pun sama gak..jahanam game...tak sampai 10 minit game cikgu MCKK dah leading 1 - 0...dlm hati dah terdetik"mau teruk kena belasah ni kang"...lepas 20 minit game..baru suma player dapat rentak...baru boleh main...walaupun ada terkucil sana sini sikit2..

 selpie dulu sebelum start game....

 cam player baru sain contract je....

 member2 tengah wat stretching sebelum start game...bagai nak rak suma wat stretching..maklumlah dah tua2 ni..stretching kena buat lebih2 sikit..klau tak mau terkucil kepala lutut nanti...

 selpie lagi...sejak pandai selpie asyik nak berselpie je...
 bergambar kenangan ngan cikgu2 MCKK sebelum sepak mula..
 akhir kata tahniah untuk cikgu2 MCKK kerana kemenangan 4-3 ngan team BURSA dan terima kasih juga atas layanan dan jamuan yang disediakan..kita jumpa lak kat KL pula bulan 10 nanti..

Thursday, August 28, 2014

Sehari di I-CIty Shah Alam

Sejak mula2 I-City di buka aku tak pernah sampai...sampailah office aku buat family day kat sana sekitar bulan Jun yg lalu..sebelum ni anak dara selalu mengajak aku pergi I-City ni...tp aku selalu bg alasan..macam2 alasanlah...bukan taknak pegi tp perbelanjaan dia aku tengok rasa macam tak berbaloi lak kalau gi sana...bila aku dengar office aku nak buat family day kat I-City ni seolah-olah macam "my daughter dream come true"..bila aku bagi je tau kat dia yg office ayah nak buat family day kat sana...punyalah seronok..sampai hari2 dok bilang hari nak gi sana...punyalah exited..nak kata ok..ok lagi kat Sunway Lagoon..tp nak wat cam mana layan jelah...asalkan anak aku happy kau pun happy gak...dah tua2 ni layan anak jelah...kita bukan ada apa lg pun...ni lah masanya untuk layan kerenah anak2...jom kita layan...hanya gambar sajelah yang boleh menceritakan segala2galanya..


 selfie...

 bergambar kat Snow World...mula2 tak rasa sejuk..panas semacam je..tak sampai 3-4 minit tiba2 lak sejuk semacam...makin kedalam  makin sejuk...



 selpie lagi...


 The Triple Age...





 Kat Red Carpet....macam2 ada...dipenuhi ngan patung2 lilin selebriti terkenal...


































dan akhirnya tercapai hajat anak dara aku nak gi I-City...lepas ni kalau nak gi lagi aku rasa takyah lah kut...kalau nak gi pun pegi lak belah malam...tengok cahaya yg bergemerlapan lak kat I-City..oklah geng chow dulu...see u next time...Assalamuallaikum...