Wednesday, April 30, 2014

HEBATNYA KASIH MAK!


Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “ Ada di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.


  Dua puluh tahun kemudian 
Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, “Mana Mak?”Ateh menjawab, “Entah.”Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, “Mana Mak?”

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya “Mana Mak?” apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, “Mana Mak.” Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya ‘Mana Mak?”

Semakin anak-anak Mak besar, soalan “Mana Mak?” semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .
Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.
Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. -Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. 
Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.
Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, “Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni.”

Sekurang-kurang -nya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat -gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, -masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, “Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat.”

Mak minta Mak Uda telefon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah , “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”
Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.


Beberapa tahun kemudian 
Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.
Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

“Mana Along?” , “Mana Angah?”, “Mana Ateh?”, “Mana Alang?”, “Mana Kak Cik?” atau “Mana Adik?”. Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.
Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, “Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , “Mana mak?” “

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, “Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal.”

“Ayah, ayah ….bangun.” Suara Ateh memanggil ayah . Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, “Mana Mak?”

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan “Mana Mak?” masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

p/s: Kalau masih ada mak, tolonglah hargai mak anda. Kalau mak dah pergi menghadap  Yang Maha Esa, doakan lah untuk kesejahteraannya di sana. Bagi yang masih ada mak, dah berapa lama anda tak telefon mak?? Ambil telefon, luangkanlah seminit dua bertanya khabar mak. Pastinya mak akan gembira.

Wednesday, April 23, 2014

Wanita Kotor Itu Ibuku!

"Pengotor betul aku tengok orang tua tu..!"sergah Abu pada Nija dan Liza serta beberapa orang lagi membernya. "Kau ini... tak baik.. cakap mcm tu.. kita nih orang muda patutnya sopan...!"kata Nija sambil memerhatikan Liza yang kelam kabut meninggalkan kumpulannya. "Wei.... Liza kau nak gi mana..?" jerit Burn. "Maafkan Liza ibu... Liza tak sanggup nak mengaku ibu waktu itu...!"kataku sambil meninggalkan ibuku yang berlari mengejarku. "Kau tengok.. pompuan tua tu ikut Lizalah...!"jerit Abu terkejut. "Biarkanlah agaknya dia ingat Liza tu anak dia kot.. aku tengok dia dok asyik bawak gambar kehulu kehilir.. aku rasakan aku nak tengok juga satu hari nanti... !"kata Abu memberitahu. "Aku nak join weii Bu... sok lusa kita gi amik picture yang kat tangan dia tu...!"kata Burn menyokong sambil menepuk² bahu Abu. Mereka sama-sama ketawa..... Nija meninggalkan mereka kerana tak sanggup bersubahat dalam perkara yang mereka bincangkan itu. "Aku blah dulu.. Liza dah blah.. bosan aku tengok korang.. kurang ajar cam nih....!"kata Nija sambil meninggalkan Abu yang terpinga-pinga... "Pulak...!"kata Burn kehairanan. Abu dan Burn serta beberapa rakan mereka berbincang mengenai gambar dan orang tua berkenaan. Setelah berbincang Abu membuat satu rancangan yang dia akan memberikan orang tua itu makanan tengahari dengan harapan gambar itu dia letakkan di sebelahnya ketika makan kelak. Yang lain bersetuju dengan cara tersebut. Setelah bersetuju Abu memberikan sms kepada Nija dan Liza keputusannya mengenai gambar yang sering orang tua itu lihat setiap hari. "Apa...!"jerit Liza terkejut. "Hello...! Nija... kaupun terlibat sama ker..?"tanyaku kepada Nija. "Taklah.. aku malas nak campur lepas kau blah akupun angkat kaki gilah...! tak kuasa aku nak layan diorang.. kurang ajar tu namanya dah over sampai orang tuapun dia nak layan camtu..!"jawab Nija perlahan tetapi masih menampakkan perasaan marah melalui suaranya yang agak tegas. "Okelah.. aku nak gi beli barang kejap...!"kataku sambil mengakhiri perbualan. Aku mesti bawa perempuan itu balik kerumah. Aku rasa sudah sampai masanya aku buang sikap maluku sendiri. Aku malu hendak mengaku perempuan pengotor itu ibuku. Setahu aku, aku anak orang kaya kepada Tan Sri Azman Syarif... tetapi kebenaran terserlah dan sememangnya bukan berpihak kepadaku. "Liz kena terima.. papa sayangkan liz sama macam dulu... kita bawak ibu Liz tinggal dengan kita yer...?"kata papa kepadaku bila aku ditegur oleh perempuan tua itu pagi sebelum Abu bertemu dengannya tengahari kelmari di cafe kolej. "Makcik ini salah orang ini...!" marahku ego dan meninggalkan orang tua itu di bahu jalan. Mujur tak ada orang yang tahu insiden pagi tersebut. "Kalau papa bawak dia Liz lari dari rumah ini... Liz tak ada ibu macam tu pengotor betul... ! kalau ya dia ibu Liz kenapa papa tak jaga dia..? kenapa papapun biarkan dia gila mcm tuu dok hurung gambar Liz satu KL nih.. malu tau tak...!"jerit Liz bila dia melihat papanya kesal tak sudah. "Papa tanak dia ambil Liz dari papa sebab itu papa biarkan dia merayau tak tentu hala... biar orang ramai kata dia gila... asalkan Liz sentiasa ada besama papa. Papa akan lakukan apa sahaja.. itu pesan mama pada papa...!"pujuk papaku. "Papa tak adil pada ibu Liz... skang nih Liz tak tahu sama ada nak mengaku dia ibu Liz.. depan kawan-kawan Liz.. or nak biarkan kawan-kawan Liz malukan Liz esok pagi...!"kataku sambil keliru dan menanggis. "Semua orang ada silap... papa sanggup cari ibu Liz sekarang juga....!"kata papa sambil meninggalkan aku terpingga seorang diri. Kaki ku berat.. hendak melangkah. kerana nasibku diketahui esok kelak.. dan aku bukannya anak kandung Tan Sri Azman Syarif pemilik syarikat perkapalan di Malaysia yang terulung.. dan aku sebenarnya anak org gila yang pengotor seperti yang Abu katakan tengahari kelmarin. Aku menuju ke bilikku. Otakku beku.... Aku tak mampu berfikir. Dan aku membiarkan papa dengan pak samad pergi mencari. "manalah kita nak cari dia samad...?"tanya Tan Sri di dalam kereta. "Entahlah Tan Sri... sayapun tak tahu.. sebab saya tak pernah nampak dia..? Dah dekat 2 jam kita cari ini...?"kata Samad lagi. "kita balilah samad esok kita cari lagi...!"idea Tan Sri samad ikut kerana dia juga keletihan mancari serata KL. Esok paginya aku jadi resah... aku duduk di dalam bilik sementara sms Abu cukup mencabar kesabaranku. Antara ego dan ibu mana satu aku harus utamakan. Aku memberontak... aku teringat pesan mama.. jika kita buntu baca surah yasin dah selesai membaca berdoalah minta Allah tunjukkan jalannya. Aku capai surah yasin di sisi katil. Aku membacanya. Selesi membaca hati dan fikiranku tenang. Tidak lama kemudian papa masuk dan memberitahu yang dia gagal mencari ibuku. Aku tersenyum marahku tiada lagi. Aku tahu kenapa papa lakukan semua itu. "Liz faham ... dan Liz tanak tinggalkan papa sampai bila-bila okey.. Liz nak keluar ada kerja yg Liz kena lakukan sekarang ini juga...!"kataku laju dan berlari menuruni tangga. Aku mencapai keretaku dan memecut laju menuju ke tempat yang Abu serta Burn menjumpai perempuan gila yang pengotor itu. "Abu...! Aku tak nak kau buat mcm tu..! jom kita baliklah Abu..kesian dia.,..! kau buat macam tuu bagilah balik gambar itu.. kau tengok dia menanggis tu...!"marah Nija sambil memukul Abu yang masih ketawa. Aku sampai.. dan aku terus berlari keluar.. serta menampar... dan menolak Abu dan Burn ke tepi dam merampas gambar tersebut... Adegan aku disaksikan oleh Abu, Burn dan Nija yang agak kehairanan. "Ina... tolong ibu Na...! mereka ini ambil gambar kau masa kecil Na.. bagilah balik gambar tu Na.. itulah aja kenangan ibu pada kau Na...!"rayu perempuan itu sambil menanggis. teresak-esak tak ubah sepertti budak kecil. "Kau tengok..!"korang tahu takk.. siapa perempuan ini...!?"marahku tak tertanggung lagi. "Sabar Liz... akupun marah juga... tapi kau tetiba angin ini kenapa..?"tanya Nija sambil memujukku kebelakang... "kau ini pehal Liz.. tetiba tumbuk aku sebab perempuan jijik ini...!"marah Abu... Burn hanya diam kehairanan. "Perempuan pengotor yang kau cakap ini.. yang ada depan aku ini. skang ibu kanduang aku faham...! puas hati korang...! lepas ini kalau kau nak hebohkan satu kolejpun aku tak heran dah...! gi mampus...!?"amahku memuncak... egoku menurun kerana aku tahu aku bersalah dan berdosa yang amat sangat. Semuanya terdiam... Burn kebelakang...! dan terduduk.... sedangkan Nija tak berkedip langsung.. dan Abu tersentak betul dan gambar yang ada ditangannya terjatuh. Dikala jatuhnya gambar tersebut aku lihat perempuan tua itu tersenyum dan mengambilnya serta mula hendak beredar. Aku tersedar bila melihat ibuku pegi meninggalkan aku seperti dia telah menemui anaknya semula. Aku terkedu..... Sungguhkah dia telah berpatah arang padaku. "Ibu...!"jeritku tanpa malu dan waktu itu satu ketenangan yang amat sangat aku perolehi. Perempuan itu terhenti langkahnya.... dan menoleh serta tersenyum.... "Kita balik ibu...! Liz tak malu lagi.. dan mulai dari hari ini.. Liz akan sentiasa bersama ibu. Biarlah tak ada kawan.. asalkan Liz jumpa ibu Liz semula...."kataku lemah dan tersenyum puas bila melihat ibu mencium gambarku semasa kecil. Aku meninggalkan Nija, Abu dan Burn di situ..... Papa tersenyum dan terus menghubungi doktor peribadi kami. Ibu kini tinggal bersama papa dan aku. di rumah besar ini. Biarlah sisa ini aku habiskan bersamanya. Malam itu aku mendapat sms dari 3 orang rakanku.... dan aku akan menunggu mereka jika persahabatan dan maaf mereka ikhlas kepadaku. "Ting.. tong...!"loceng berbunyi. "Liz.. kawan² kamu dah sampai dah nih.. turun cepat...!"jerit mak lijah isteri kepada pak samad. "Okey.. mak lijah... Liz turun....!"kataku dan mencium ibuku yang tidur kepenatan kerana rawatan dan proses membersihkan dirinya sepanjang hari ini. Cantik juga bila sudah bersih dan kemas.. kataku didalam hati.. sambil mencium dahi ibuku yang sedang nyenyak tidur..

Tuesday, April 8, 2014

JUBAH UNTUK IBU

"Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak menyusahkan aku?," marah ibu.

Along hanya membungkam. Tidak menjawab sepatah apapun.

"Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah  dua kali ka uulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut macam Angah dengan Alang tu. Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang hah?", leter ibu lagi.

Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya.

Seketika dia melihat si ibu berlalu pergi dan kembali semula dengan rotan di tangannya.
Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu.

"Sekarang kau cakap,kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!", Jerkah ibu.

Along semakin berdebar-debar namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, diajuga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin bengang.

" Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti kau, suka sangat cari penyakitkan, sekarang nah, rasakan!", Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah Along menjerit kesakitan.

"Sakit bu...sakit....maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi....Bu, jangan pukul bu...sakit bu...", Along meraung meminta belas si ibu agar tidak merotannya lagi.

"Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?" Balas ibu lagi.

Kali ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along yang kurus itu.

"Bu...ampunkan Along bu...bukan Along yang mulakan...bukan Along....bu, sakit bu..!!", rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih.

Along memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun siratan rotan tetap mengenai tubuhnya.Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan,tapi kerana memikirkan tidak jemukah si ibu merotannya setiap hari.

Setelah hatinya puas, si ibu mula berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih memaut kakinya itu ditepis kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu.  Along memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya menangis lagi kerananya.

Malam itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak dapat dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi. Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya.

Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat menjeling ibu di sebelah. Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang.

Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini. Along mengesat sisa-sisa air mata yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini. Along merebahkan badannya.

Dia cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu menjelma diruang ingatannya.

Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian tu semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di wajah tua itu. Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along sedar, dia telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat keputusan yang corot dalam SPM. Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya.

Along sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu tidak semekar dahulu lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu caca-marba, dan perasaannya pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan, Along terlelap juga.
 

Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu.
Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu
kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang ibu yang terbongkok-bongkok

mengambil sudu dibawah para dan kemudian mencacap makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu
menolong.Mudah-mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu.


Namun, belum sempat dia melangkah ke dapur, adik perempuannya yang baru pulang daripada mengaji
terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil
memerhatikan mereka.

" Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?" Tanya Atih kehairanan.

Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka.

Si ibu yang lincah menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu. Sementara Along
disebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang telinganya.

"Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?" "



Eh jangan, nanti dulu... Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita
makan sekali. Pergi naik atas mandi dan tukar baju dulu ye!", si ibu bersuara lembut.


Along menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. 'anak-anak kesayangan ibu nak balik rupanya...'
bisik hati kecil Along.

"Kak Ngah dengan Alang nak balik ke ibu?", soalnya lagi masih belum berganjak dari dapur.

Si ibu mengangguk sambil tersenyum. Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan.


"Oooo patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along balik,
ibu tak masak macam ni pun?".

Along terkejut mendengar soalan Atih. Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya.


"Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk asrama, balik pun
sebulan sekali ja!",terang si ibu.


"Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni dekat Along pun..", soal Atih lagi.


Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan. Along mula terasa sebak. Dia mengakui kebenaran
kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada perasaan dendam atau marah walau secalit pun
pada ibu yang sangat disayanginya.

"Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang dekat stesen bas." , arah ibu.

Dia tidak mahu Atih mengganggu kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan.


Malah ibu juga tidak senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along anak yang
derhaka yang selalu menyakiti hatinya. Apa yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu pula membuat
hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin hilang perhatian pada Along dek kerana
marah dan kecewanya.


Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat Bandar sambil jalan-jalan buat
menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai, kakinya tiba-tiba berhenti melangkah. Matanya terpaku
pada sepasang jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung bermanik.

'Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni....' Dia bermonolog sendiri.


Along melangkah masuk ke dalam kedai itu. Sedang dia membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba
disentuh seseorang. Dia segera menoleh. Rupa-rupanya itu Fariz, sahabatnya.

"La...kau ke, apa kau buat kat sini?", tanya Along ingin tahu sambil bersalaman dengan Fariz.

"Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat sini?",soalnya pula.

"Aku tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak kasi mak aku!", jelas Along jujur.
"waa...bagus la kau ni Azam. Kalau kau nak beli aku bagi less 50%. Macammana?" Terlopong mulut

Along mendengar tawaran Fariz itu.

"Betul ke ni Riz? Nanti marah kakak kau!", Along meminta kepastian.

"Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti bagi punya!", balas Fariz meyakinkannya.

"Tapi aku kena beli minggu depan la. Aku tak cukup duit sekarang ni." Cerita Along agak keseganan.
Fariz hanya menepuk mahunya sambil tersenyum.

"Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar sikit-sikit." Kata Fariz .

Along hanya menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya tahu,
mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi.

"Dekat kau ada berapa ringgit sekarang ni?", soal Fariz yang benar-benar ingin membantu
sahabatnya itu. Along menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet
berwarna hitam yang semakin lusuh itu.


"Tak sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang beli minggu depan. Kau jangan jual dulu
baju ni tau!", pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk senyum.


        Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah tiba, kelihatan Angah
dan Alang sudah berada di dalam rumah.Mereka sedang rancak berbual dengan ibu di ruang tamu.
Dia menoleh kearah mereka seketika kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak
pulang dari sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan diselak. Syukur masih ada sisa
lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas meja. Tanpa berlengah dia terus makan
sambil ditemani Si Tomei, kucing kesayangan arwah ayahnya.

"Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?", soalan ibu


yang bernada sindir itu tiba-tiba membantutkannya daripada menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan.

"Kenapa tak makan kat luar ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah!", leter ibu lagi. Along hanya diam.


Dia terus berusaha mengukir senyum dan membuat muka selamber seperti tidak ada apa-apa
yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi ibu yang masih
memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati.


"Along ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati. Kerana Along, ibu kena marah dengan pengetua tu."
Marah Angah, adik perempuannya yang sedang belajar di MRSM.


Along mendiamkan diri.Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab kata-kata adiknya itu tetapi melihat
kelibat ibu yang masih di situ, dia mengambil jalan untuk membisu sahaja.


"Along! Kalau tak suka belajar, berhenti je la. Buat je kerja lain yang berfaedah daripada
menghabiskan duit ibu", sampuk Alang,



adik lelakinya yang menuntut di sekolah berasrama penuh. Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar.
Hatinya semakin terluka melihat sikap mereka semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka. Along mengangkat
mukanya memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia segera mencuci
tangan dan meluru ke biliknya.

Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru. Hatinya pula jadi tidak keruan memikirkan kata-kata mereka.

Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan semakin membencinya. Along nekad, esok pagi-pagi, dia
akan tinggalkan rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar. Kebetulan cuti sekolah selama seminggu bermula esok.
 

Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Along terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah
berisi pakaian, Along keluar daripada rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si ibu

menyatakan bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di hutan selama seminggu. Niatnya sekadar
mahu mencari ketenangan


selama beberapa hari justeru dia terpaksa berbohong agar ibu tidak bimbang dengan tindakannya itu. Along

menunggang motorsikalnya terus ke Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya,
tengah hari itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel membaiki motorsikal
dengan upah lima belas ringgit sehari, dia sudah rasa bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi,
dia dapat membeli jubah untuk ibu.


Hari ini hari ke empat Along keluar daripada rumah. Si ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan
Along di luar. Dia juga berasa agak rindu dengan Along. Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh
setiap kali terpandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan itu terubat apabila melihat gurau
senda anak-anaknya yang lain.

Seperti selalu, Along bekerja keras membantu Abang Joe dibengkelnya. Sikap Abang Joe yang baik dan

kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu
Along antaranya menumpangkan Along di rumahnya dengan percuma.



"Azam, kalau aku tanya kau jangan marah k!", soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka
menikmati nasi bungkus tengah hari itu.

"Macam serius jer bunyinya Abang Joe?" Along kehairanan.

"Sebenarnya, kau lari dari rumah kan ?"



Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap ke dalam mulut tersembur keluar.
Matanya juga kemerah-merahan menahan sedakan. Melihat keadaan Along itu, Abang Joe
segera menghulurkan air.

"Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?" Tanya Abang Joe lagi cuba menduga.



Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along mendiamkan diri.
Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan. Dia cuba menundukkan mukanya
cuba menahan perasaan sedih.


"Azam, kau ada cita-cita tak...ataupun impian ker...?" Abang Joe mengubah topik setelah melihat reaksi
Along yang kurang selesa dengan soalannya tadi.

" Ada " jawab Along pendek

"Kau nak jadi apa besar nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam aku...atau...."

Along menggeleng-gelengkan kepala.

"semua tak...Cuma satu je, saya nak mati dalam pangkuan ibu saya." Jawab Along disusuli ketawanya.

Abang Joe melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab soalannya itu.


" Ala , gurau ja la Abang Joe. Sebenarnya....saya nak bawa ibu saya ke Mekah dan...saya....saya nak jadi
anak yang soleh!". Perlahan sahaja suaranya namun masih jelas didengari telinga Abang Joe.


Abang Joe tersenyum mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang anak yang
begitu baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum pernah ada cita-cita mahu
menghantar ibu ke Mekah.


        Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja masing-masing. Tidak seperti selalu, petang itu
Along kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi.


"Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah ...terima kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni", ucap Along
sewaktu selesai menutup pintu bengkel.


Abang Joe yang sedang mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak
muda itu mahu pulang ke pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh sasa itu. Ini menyebabkan
Abang Joe terasa agak sebak.


"Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya tinggal kat rumah Abang Joe tu,
saya hadiahkan untuk Abang Joe." Kata Along lagi.

"Tapi, kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?", soal Abang Joe.

Dia risau kalau-kalau Along menyalah anggap tentang soalannya tadi. Along hanya senyum memandangnya.


"Tak apa, saya bagi kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya rasa tak mampu nak
balas budi baik abang. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni semakin maju." Balasnya dengan tenang.

Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai seorang abang memeluk adiknya yang akan pergi jauh.




Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli jubah yang diidamkannya itu.
Setibanya di sana , tanpa berlengah dia terus ke tempat di mana baju itu disangkut.


" Hey Azam,mana kau pergi? Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari rumah ke?", soal Fariz
setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu.


Along hanya tersengeh menampakkan giginya.

"Zam, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kau tumbuk si Malik tu?"


Tak pe lah, perkara dah berlalu....lagipun, aku tak nak ibu aku terasa hati kalau dia dengar tentang perkara ni",
terang Along dengan tenang.

"Kau jadi mangsa. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah", kata Fariz lagi.

"Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak kisah."

"Zam..kau ni....."


"Aku ok, lagipun aku sayang dekat ibu aku. Aku tak nak dia sedih dan ingat kisah lama tu." Jelas Along
memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati itu.


"Aku nak beli jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni sekali, k!", pinta Along sambil
menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu.

"No problem...tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ke?" , soal Fariz ingin tahu.

"Aku kerja kat bengkel Abang Joe. Jadi pembantu dia", terang Along.

"Abang Joe mana ni?"


"Yang buka bengkel motor kat Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu!",jelas Along dengan
panjang lebar.

Fariz mengangguk .

"Azam, kau nak bagi hadiah ni kat mak kau bila?"

"Hari ni la..." balas Along.

"Ooo hari lahir ibu kau hari ni ek?"

"Bukan, minggu depan..."

"Habis?. Kenapa kau tak tunggu minggu depan je?", soal Fariz lagi.


"Aku rasa hari ni je yang yang sempat untuk aku bagi hadiah ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak
marah aku lagi." Jawabnya sambil mengukir senyum.

 
Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak sabar menunggu untuk segera
menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang

tersenyum menerima hadiahnya itu. Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang hadapan
lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing hilang
kawalandan terus merempuh Along dari depan yang tidak sempat mengelak.

Akibat perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di
kepala dan belakangnya. Topi keledar yang dipakai mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya,

Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu dan dengan sisa kudrat
yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan
kain dan kad yangterburai dari kotak itu. Darah semakin membuak-buak keluar dari hidungnya.
Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat.

Dalam keparahan itu, Along melihat kelibat orang-orang yang sangat dikenalinya sedang berlari ke arahnya.

Serta merta tubuhnya terus dirangkul seorang wanita. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa
bahagia sekali apabila dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada ibunya.


Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil namanya. Namun tiada
suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan
cuba menghulurkan jubah dan kad yang masih digenggamannya itu.


"Ha..hadiah....untuk....ibu........." ucapnya sambil berusaha mengukir senyuman. Senyuman terakhir
buat ibu yang sangat dicintainya.


Si ibu begitu sebak dan sedih. Si anak dipeluknya sambil dicium berkali-kali. Air matanya merembes keluar
bagaitidak dapat ditahan lagi. Pandangan Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa
ada air hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan dia pergi
untuk selama-lamanya.



        Selesai upacara pengebumian, si ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama Angah, Alang dan Atih.

Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang hampir relai dari beg tangannya. Sekeping
kad berwarna merah jambu bertompok darah yang kering dibukanya lalu dibaca.

'Buat ibu yang sangat dikasihi, ampunkanlah salah silap along selama ini. Andai along melukakan hati ibu,
along pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf along bu..Along janji tak kan membuatkan ibu marah lagi.
Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu... dan terimalah hadiah ini.....UNTUKMU IBU!'

Kad itu dilipat dan dicium. Air mata yang bermanik mula berjurai membasahi pipi. Begitu juga perasaan

yang dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian seorang
abang yang selama ini disisihkan. Sedang melayani perasaan masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul.
Dia terus mendekati wanita tua itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini.

"Makcik, ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan tu makcik.
Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat kami. Dia sengaja cari
pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air dekat lukisan Azam. Lepas tu, dia ejek-ejek Azam.
Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa Azam seorang pembunuh dan ... dia jugak cakap, ibunya seorang
perempuan gila..." cerita Fariz dengan nada sebak.


Si ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia merotan Along
kerana kesalahan menumbuk Malik.

"Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik Fariz?" Soalnya dengan sedu sedan.


"Sebab.....dia tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa dulu. Dia cakap, dia tak nak makcik
jatuh sakit lagi,dia tak nak mengambil semua ketenangan yang makcik ada sekarang...walaupun dia disalahkan,
dia terima. Tapi dia tak sanggup tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula...." Terang Fariz lagi.

Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi pihak sahabatnya itu.


        Si ibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Terasa seluruh anggota badannya menjadi Lemah.
Berbagai perasaan mencengkam hatinya Sungguh hatinya terasa sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan
si anak yang selama ini dianggap derhaka.


-tamat-
'WARKAH JUBAH UNTUK IBU'