Tuesday, December 23, 2014

CERITA PENGEMIS DAN ISTERI CANTIK

Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan diruang tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka."Tolonglah encik, saya lapar, sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi." Dengan muka bengis, si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu.
 
Dalam hatinya berkata "Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri dan keluargaku." Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.
 
Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isteri yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain.
 
Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan.
 
Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis itu, si isteri menangkup muka sambil menangis. Si isteri mengadu si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suamiya yang dulu pernah menengking seorang pengemis.
 
Suami yang baru itu menjawab dengan tenang. "Demi Allah, sebenarnya akulah pengemis yang dihalau dan ditengking dulu!".
 
Cerita ini memberi pengajaran bahawa hidup kita seperti putaran roda dan tidak selalunya diatas. Ada masa ketikanya kita akan turun kebawah dan naik semula atau sebaliknya.
 
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :
"Sedekah itu dapat menutup tujuh puluh ribu kejahatan".
Anas b. Malik pula meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda bermaksud :
"Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dengan kekayaannya, barang siapa yang mempunyai ilmu, maka bersedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga, bersedekahlah dengan tenaganya".  
Semoga bermanfaat dan kredit kepada penulis

Thursday, December 4, 2014

Petani dan mata air ajaib...

Alkisah, seorang petani menemui sebuah mata air ajaib. Mata air itu boleh mengeluarkan kepingan wang emas yang tak terhingga banyaknya. Mata air itu boleh membuat si petani menjadi kaya raya seberapapun yang diinginkannya, sebab mata air wang emas itu hanya akan berhenti bila si petani mengucapkan perkataan “cukup”. Seketika si petani terpana melihat kepingan wang emas berjatuhan di depan matanya.

Diambilnya beberapa baldi untuk menampung wang percuma itu. Setelah semuanya penuh, dibawanya ke pondok kecilnyanya untuk disimpan disana. Pancuran wang terus mengalir sementara si petani terus mengisi semua karungnya, seluruh tempayannya, bahkan mengisi penuh rumahnya.


Masih kurang! Dia menggali sebuah lubang besar untuk menimbun emasnya. Belum cukup, dia membiarkan mata air itu terus mengalirkan wang emas hingga akhirnya petani itu mati tertimbus bersama ketamakannya kerana dia tak pernah boleh berkata cukup.

Perkataan yang paling sukar diucapkan oleh manusia kemungkinan adalah perkataan “cukup”. Bilakah kita boleh berkata cukup? Hampir semua pegawai merasakan gajinya belum boleh dikatakan sepadan dengan kerja kerasnya.

Peniaga hampir selalu merasakan keuntungan perniagaanya masih di bawah target. Isteri mengeluh suaminya kurang beri perhatian padanya. Suami berpendapat isterinya kurang mengerti kehendaknya. Anak-anak menganggap orang tuanya kurang murah hati.

Semua merasa kurang dan kurang. Bilakah kita boleh berkata cukup?

Cukup bukanlah pasal berapa jumlahnya. Cukup adalah persoalan kepuasan hati. Cukup hanya boleh diucapkan oleh orang yang boleh bersyukur. Tak perlu takut berkata cukup.

Mengucapkan perkataan cukup bukan bererti kita berhenti berusaha dan berkerja. “Cukup” jangan diertikan sebagai keadaan berpuas hati.

Mengucapkan perkataan cukup membuat kita melihat apa yang telah kita terima, bukan apa yang belum kita dapatkan. Jangan biarkan kerakusan manusia membuat kita sukar berperkataan cukup. Belajarlah mencukupkan diri dengan apa yang ada pada diri kita hari ini, maka kita akan menjadi manusia yang berbahagia.

Belajarlah untuk mengucapkan perkataan “Cukup” .

Kredit to ceritapermatahati....