Rasulullah S.A.W pernah berpesan kepada Sayyidina Umar r.a. dan Sayyidina Ali k.w.: “Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan
 dia akan lahir di zaman kamu. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia 
akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di
 zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia 
berdoa untuk kamu berdua.”
Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali lalu sama-sama menanyakan kepada Rasulullah S.A.W: “Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?” Rasulullah S.A.W menjawab: “Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian.”
Memang benarlah 
kata-kata Rasulullah S.A.W, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman 
Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Mereka memang menunggu dan mencari 
kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga
 dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar, tidak mungkin dia 
orang yang Rasulullah S.A.W maksudkan kerana di kalangan orang awam, Uwais dianggap sebagai seorang yang kurang waras.
Uwais Al-Qarni adalah 
seorang yang berpenyakit sopak, badannya putih, yakni putih penyakit 
yang tidak digemari. Walaupun dia seorang berpenyakit sopak, dia adalah 
seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur 
dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. 
Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Beliau berpenyakit
 sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.
Suatu hari ibunya 
memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin untuk mengerjakan haji. Dia 
menyuruh Uwais supaya berikhtiar agar dia dapat membawanya ke Mekah 
untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya 
untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan
 orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan 
beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah 
sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas 
matahari dan hujan, selesa namun perbelanjaannya mahal. Uwais tidak 
mampu untuk menyediakan yang demikian. Beliau tidak memiliki unta dan 
juga tidak mampu untuk membayar sewa.
Pada suatu hari, ibu Uwais yang semakin uzur berkata kepada anaknya: “Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”
Uwais mendapat suatu 
ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis 
menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil di atas sebuah ‘Tilal’ iaitu 
sebuah tanah tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia 
lakukan, pada
 petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. 
Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut 
untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya 
dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu 
makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan 
beliau kurang waras.
Memang pelik, membuatkan
 rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, 
petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. Namun sebenarnya jika 
dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya 
hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot
 tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah 
mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.
Selepas lapan bulan, 
apabila sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu 
persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku
 ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di 
belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan
 sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku 
inikan pula ibunya yang lebih ringan. Dia
 membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari 
Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan 
senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya 
pulang semula ke Yaman dari Mekah.
Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: “Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?”
Uwais menjawab: “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.
Ibunya bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan dosa kamu?”
Uwais menjawab: “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga.”
Ibunya berkata lagi: “Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.”
Uwais berkata: “Saya
 keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha
 dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala.”
Ibunya menambah: “Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa.”
Akhirnya Uwais tidak ada
 pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais lalu berdoa 
seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang 
luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih 
ada dosa pada dirinya, dia berdoa: “Tolonglah ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkanlah sedikit.”
Allah SWT lalu 
menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali
 tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok 
putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah 
anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah S.A.W 
kepada Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali: “Tandanya
 kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau
 berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni.”
Tidak lama kemudian, 
ibunya meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. 
Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di 
sisi Allah. Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais
 dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W, mereka meminta 
supaya Uwais berdoa agar Allah SWT berkenan mengampuni semua dosa-dosa 
mereka berdua.
Ketika Uwais al-Qarni 
berjumpa Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali, beliau berkata: “Aku ini 
datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat 
Rasulullah S.A.W kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan 
aku.” Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.
Setelah itu Sayyidina 
Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, bertanya kepadanya: 
“Anda hendak pergi ke mana?” “Kufah”, jawab Uwais. Sayyidina Umar 
bertanya lagi: “Mahukah aku tuliskan surat kepada Gabenor Kufah agar 
melayanimu?” Uwais menjawab: “Berada di tengah-tengah orang ramai 
sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.”
Demikianlah kisah Uwais 
Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang
 tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit. Wallahua’lam.
Sumber: Syahirul 

