Dengan nama Allah yang maha 
pengasih lagi maha penyayang...
Hari Jumaat ialah hari 
kebesaran Islam bagi orang mukmin. Hari yang mulia ditentukan buat umat Muhammad 
SAW. Pada hari itu kepada sesiapa yang berdoa Allah akan memakbulkan doanya. 
Setiap muslim dikehendaki mempersiapkan diri untuk hari Jumaat mulai dari hari 
Khamis dengan membersihkan pakaian dan memperbanyakkan tasbih serta memohon 
keampunan kepada Allah SWT pada malam Jumaat lagi. Kerana pada masa itu nilai 
mulianya sama dengan masa yang dirahsiakan oleh tuhan pada hari 
Jumaat
Amalan Sunat Hari 
Jumaat
Pada subuh hari Jumaat, maka 
setiap muslim digalakkan mandi, kemudian memakai pakaian yang berwarna putih 
kerana pakaian putih lebih disukai Allah. Pakailah minyak wangi yang diharuskan 
dan berhiaslah dengan memotong rambut, mencukur kumis, memotong kuku dan 
menggosok gigi.
Sesudah itu bersegeralah ke 
masjid.. Sabda Rasulullah SAW: " Sesiapa yang masuk dahulu ke dalam masjid 
pada hari Jumaat untuk sembahyang Jumaat, maka seolah-olah dia sudah berkorban 
dengan seekor unta dan orang yang masuk pada waktu yang kedua berkorban dengan 
seekor lembu dan yang masuk pada waktu ketiga maka seolah-olah dia berkorban 
dengan seekor kambing dan siapa yang masuk ke masjid pada waktu keempat  maka 
seolah-olah ia berkorban dengan seekor ayam, dan orang yang masuk waktu kelima 
maka seolah-olah dia berkorban dengan sebutir telor. Maka apabila naik imam ke 
atas mimbar ditutupnya buku catatan dan diletakanlah pena oleh malaikat dan 
mereka berkumpul dekat mimbar mendengar khutbah"
Kemudian apabila seseorang 
memasuki masjid, maka ambillah saf pertama dan apabila saf itu sudah penuh 
ambillah tempat yang kosong dan jangan melangkahi bahu orang lain serta jangan 
lalu di hadapan orang sedang sembahyang.
Solat Sunat dan Bacaan Surah 
Pilihan
Kerjakanlah sembahyang 
tahiyatul masjid dan yang paling afdhal hendaklah menunaikan sembahyang itu 
empat rakaat dengan membaca setiap rakaat sesudah Fatihah dengan bacaan Surah 
Al-Ikhlas sebanyak 50 kali. Dalam sebuah hadis dinayatakan: "Barangsiapa yang 
mengerjakan sembahyang itu tidak akan mati sebelum ia melihat tempat di 
syurga"
Jangan tingggalkan sembahyang 
tahiyatul masjid sekalipun imam sedang berkhutbah. Di Dalam sunnah dinyatakan 
bahawa sangat baik jika membaca dalam keempat-empat rakaat sembahyang itu dengan 
surah Al-Anaam, Al-Kahfi atau Yasin. Jika tidak mampu maka bacalah Surah Yasin 
atau Surah ad-Dukhan atau Alif Lam As-Sajdah atau surah Al-Mulk tetapi jangan 
sampai tidak membaca surah-surah itu pada malam Jumaat, kerana di dalamnya 
terdapat beberapa kelebihan.
Manakala pada hari Jumaat pula 
hendaklah ia memperbanyakkan membaca surah al-Ikhlas dan selawat ke atas Nabi. 
Apabila Imam naik ke mimbar hentikanlah sembahyang sunat dan juga berkata-kata, 
jawablah seruan muazzin kemudian perhatikan khutbahnya.. Apabila selesai dari 
sembahyang Jumaat, maka bacalah Al-Fatihah 7 kali sebelum berkata-kata dan  
surah Al-Ikhlas, Surah Ma'uzatain (Surah Al-Falak dan An-Nas) amalan sebanyak 7 
kali (Lihat Kitab Sirussalikin Jil 1 - 2. m.s 82).
Hal itu dapat memelihara diri 
seseorang muslim dari satu Jumaat hingga Jumaat akan datang dan memeliharanya 
dari syaitan.
Kemudian beradalah di masjid 
hingga waktu Asar atau sampai Maghrib dan hendaklah memperelokkan dalam 
beribadah pada waktu yang baik iaitu sepanjang hari Jumaat.