Sunday, December 15, 2019

Solat Jamak Dan Solat Qasar

SALAM MAAF PANJANG RAMAI TK FAHAM BAB NI......

*point kuliah maghrib tad
*SOLAT JAMAK QASAR*

bila kita bermusafir dan memenuhi syarat dibawah, kita dibenarkan untuk memendekkan jumlah rakaat yg 4 rakaat kpd 2 rakaat, atau menghimpunkan solat kita, atau menghimpun dan memendekkan solat (2 in 1)

*Syarat Musafir*
 1) Jarak perjalanan lebih 90 km
 2) Tempoh musafir *tidak melebihi 3 hari* penuh (tidak termasuk hari pergi dan hari balik)
3) Musafir bukan tujuan maksiat
4) Sudah memulakan perjalanan dan keluar rumah atau kawasan kampungnya.


 *1) Solat Qasar*
Qasar adalah memendekkan solat zohor, asar & Isyak iaitu daripada 4 rakaat kepada 2 rakaat

Solat Qasar hanya diuntukkan kpd musafir shj

*2) Solat Jamak*
Solat jamak maksudnya menghimpunkan solat tanpa mengurangkan rakaat.

Pada asasnya, *solat jamak tidak berkaitan secara langsung dengan solat qasar* dan ianya boleh dilakukan atas pelbagai keperluan yang dibenarkan syarak. 

Antara keadaan yang membolehkan solat jamak walaupun kita tak musafir, iaitu bila terdapat suatu kepentingan, asalkan hal itu tidak dijadikan kebiasaan seperti kerana sakit, kerana takut, kerana pekerjaan yang punya maslahat kepada umat - polis doktor, kerana bencana alam, kerana terperangkap dlm jem dan kerana musafir.

*boleh berniat jamak, dan melaksanakan solat jamak ta’khir apabila sampai di rumah.* Ini kerana solat jamak tidak terikat kepada syarat jarak perjalanan, musafir, bermukim dan keluar dari mukim.

2 Jenis solat jamak 

*1. Jamak Taqdim* iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.

 Syarat jamak Taqdim :

 1) Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.

 2) Hendaklah niat Jamak Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang afdalnya di dalam takbiratul ihram.

 3) Berturut-turut di antara solat yang dijamakkan itu.

 4) Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’).

*2. Jamak Ta’khir* pula ialah mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’.

Syarat jamak Ta’khir :

 1) Hendaklah *berniat jamak ta’khir dalam waktu pertama* iaitu Zuhur atau Maghrib. Tidak sah solat jamak ta’khir yang dilakukan akibat luput waktu solat, tanpa diniatkan sedari awal waktu solat yang pertama.

*Jadi, apa perbezaan jamak qasar dan jamak?*

 Sangat berbeza kerana,

*1. Jamak qasar* bermaksud _menghimpunkan dan memendekkan,_ manakala jamak bermaksud menghimpunkan sahaja.

 *2. Jamak qasar* hanya _dibenarkan bagi orang yang sedang bermusafir melebih 2 marhalah dan singgah tidak melebihi 3 hari penuh._

 *3. Jamak* pula _dibenarkan pada pelbagai keadaan mengikut keperluan yang syari’e._


Contoh situasi berikut :

*Contoh 1:* Ulama membincangkan masalah solat jamak sebelum memulakan perjalanan. Jumhur ulama berpendapat, boleh menjamakkan solat sebelum bertolak sekiranya dibimbangi berlaku kesukaran untuk solat dalam perjalanan. Pendapat ini berdasarkan hadis:

 "Rasulullah saw menjamakkan solat Zohor dan Asar di Madinah, pada masa itu tiada ketakutan dan tidak pula musafir, Abu al-Zubair berkata : Aku bertanya kepada Sa'ed (iaitu Ibn Jubair), Kenapa baginda melakukan begitu? Dia berkata, Aku telah bertanya Ibn 'Abbas soalan yang sama, dan dia berkata : Baginda tidak mahu sesiapa dikalangan umatnya menghadapi kesukaran" [Hadis Riwayat Muslim no. 705].

*Tapi perlu diingat.. yang dibenarkan adalah solat JAMAK, bukan JAMAK QASAR.*

*Sekali lagi ditekankan bahawa jamak qasar hanya boleh dilakukan apabila anda sudah memulakan perjalanan dan keluar daripada mukim.*

“Diantara syarat-syarat sah memendekkan (qasar) solat adalah hendaklah musafir melepasi pagar kampung (balad) yang dimulakan permusafirannya" [al-Fiqh al-Manhaji 1/187].

*Contoh 2:* Anda sudahpun dalam perjalanan pulang ke rumah. Akibat kesulitan sepanjang perjalanan pulang menyebabkan anda tidak mampu menunaikan solat dalam perjalanan. Sebagai contoh, jalan yang sangat 'jem' (musim perayaan) yang boleh menyebabkan terluput waktu solat. *Maka dibolehkan anda jamak ta’khir di rumah.* _Sekali lagi ditegaskan, dibolehkan JAMAK, bukan JAMAK QASAR._ Kerana *jamak qasar tidak ‘valid’ apabila anda telah sampai di rumah.*

*Contoh 3:* Apabila mengalami sebarang kesulitan di tempat anda bermukim (musafir yang melebihi 3 hari), maka dibolehkan jamak. Contoh ! kesulitan berbeza mengikut situasi. Berada di tempat asing memungkinkan kita berhadapan dengan pelbagai masalah. Hanya yang mengalaminya dapat merasakannya. Jangan tinggalkan solat, sebaliknya jamaklah pada sesetengah keadaan yang sulit. Allah telah memberi kelonggaran kepada hamba-hambanya pada setiap keadaan agar kita menjadi hamba yang sentiasa ta’at.

Syeikh Mohammad Salih al-Munajjid juga pernah menyatakan hal ini :

"Dibenarkan bagi seseorang yang bermukim (tidak musafir) menjamakkan dua solat jika ia menjadi terlalu sukar untuk melakukan solat yang kedua pada waktunya. Kebenaran menjamakkan solat adalah LUAS berbanding dengan memendekkan solat, kerana memendek (qasar) solat hanya dibenarkan kepada musafir sahaja. Akan tetapi jamak dibenarkan kepada musafir dan bukan musafir untuk menjamak solat apabila menghadapi kesukaran menunaikan solat samaada pada waktunya atau didalam jemaah".

Dengan itu, jelas sekali ketetapan untuk solat tidak pernah gugur walaupun kita berada dalam kesulitan. Bahkan Allah telah memberi kemudahan untuk kita tetap ‘thabat’ di atas jalan-jalan orang yang abid.

"(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran"[al-Baqarah : 185]

"dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama" [al-Haj : 78]

*Tambahan* 

Sehingga ke hari ini, masih ramai yang menganggap bahawa solat jamak qasar boleh dilakukan *3 hari pertama* berada di sesuatu tempat. Sedangkan *menduduki tempat melebihi 3 hari tidak lagi dikira musafir* tetapi ‘bermukim’ (sudah gugur taraf musafir). 

Jadi, solat jamak qasar sama sekali tidak ‘valid’ apabila anda telah sampai ke destinasi. *Tiada nas yang membenarkan solat jamak qasar pada 3 hari pertama anda bermukim*. 

Solat jamak qasar hanya ‘valid’ sepanjang perjalanan anda yang melebihi 89 km dan tidak ‘valid’ sebaik tiba di destinasi yang anda ingin duduki melebihi 3 hari.

*Sekali lagi diingatkan, jamak qasar selama 3 hari hanya dibenarkan untuk orang yang benar-benar singgah tidak melebihi tiga hari di sesuatu tempat.*
Semoga bermanfaat dan kredit kepada penulis

No comments:

Post a Comment