Saat ini saya cuba merasai jauh disudut hati betapa pedihnya luka seorang Ayah bilamana anaknya mengambil keputusan keluar dari rumah dan tinggalkan keluarga. Bukannya keluar kerana ingin membantu Ayah untuk menyara kehidupan keluarga namun sebaliknya langkahan itu meninggalkan keperitan yang amat mendalam.
Dengan kudrat yang ada dari muda sehingga usia menuju senja menunaikan hak pada keluarga. Mempertahankan bahtera rumah tangga dengan pelbagai masalah serta karenah dalaman apatah lagi siualan syaitan yang mengilai di luar. Mendidik dan mentarbiyah anak-anak agar jadi insan yang berakhlak, taat dan patuh pada peringtah Allah, tidak mengikut nafsu buas yang sentiasa menggelincirkan menuju denai berduri kehidupan. Beratnya bahu memikul beban untuk menstabilkan bahtera, hanya kekuatan berkiblatkan kompas wahyu Ilahi dan petunjuk perjalanan hidup suri teladan Junjungan Mulia sebagai pedoman selaku nakhoda.
Namun Allah SWT takdirkan dalam sunnahnya setandan pisang tidak semua boleh dimakan. Menoleh kekiri dan kekanan mencari generasi sahabat seusia Ayah yang mungkin boleh bantu memapah untuk menapak, masing-masing sudah membenarkan janji mereka dalam perjuangan menuju Tuhan Maha Pengasih kepada hambanya yang berjuang. Harapan yang tinggal adalah pada anak-anak. Dalam ramai anak-anak, sebahagian besar sangat-sangat memahami Ayah. Menjaga Ayah, membantu Ayah, memelihara Ayah dan mempertahankan Ayah. Demi Ayah, "bertongkat paruh anak-anak sanggup korbankan". Akan tetapi cukup seorang anak tidak perlu ramai, mampu menyempit hati dan menghancurkan perasaan Ayah. Makin dilarang, makin dibuat. Kalam sang Ayah diragui, hebusan nafas petualang menjadi ketagihan.
Seorang Ayah kenal anak-anaknya walaupun bilangannya ramai. Namun anak yang ramai belum pasti kenal Ayahnya yang seorang. Suruhan dan larangan Ayah, bahkan herdikan dengan tinggi suaranya, hakikatnya ibarat guruh petir yang menyambar di langit yang akhirnya menguntum gerimis yang suci lagi menyucikan di daratan. Sehebat mana pun marah seorang Ayah pada anaknya, pastinya marah sang Ayah untuk mendidik dan memberi sesuatu yang terbaik buat anaknya.
Pengorbanan Sang Ayah demi anak-anak sangat luar biasa. Mungkin anak-anak tidak menyedarinya. Dari Timur ke Selatan, mengharungi kabus sepertiga malam, membelah kepanasan matahari yang menggigit di siang hari mengerut gerutan dahi sehingga menuju ke hujung utara, menyising lengan berhempas pulas mendidik, mentarbiyah bahkan memposisikan anak-anak ke tahap didambakan khalayak manusia. Menyelesaikan segala masalah yang berbangkit akibat tingkah anak yang kononnya mulia agar senang di kemudian hari mengadap Rabbul Jalil. Anak-anak tidak menyedarinya. Apatah lagi bertanya khabar secara anak beranak. Yang tahu hanya ghairah memuntahkan rasa di medsos yang tiada perasan membina persepsi bisu.
Duhai kekanda, duhai adinda..
Pertahankan Ayah, pelihara keluarga. Masih belum terlambat untuk berbakti pada Ayah. Masih belum terlewat memelihara keluarga. Kita hidup dengan Ayah. Kita yakin Ayah ada ilmu, Ayah ada prinsip. Ayah tidak mudah dikuasai, dinodai apatah perjalanan kehidupan dan perjuangan Ayah sudah terbukti. Mungkin tak lama kita bersama Ayah. Semoga kita kekal istiqamah dan kekal bersama Ayah di alam abadi.
USHH - Gombak
14 Mac 2022
No comments:
Post a Comment